SEORANG pekerja penghantar barangan atau p-hailing di Bali menjadi 'jutawan' segera selepas dia berjaya membantu seorang pelancong mencari telefon pintarnya yang hilang di tepi pantai.
Nasib baik yang menimpa pekerja tersebut dikongsikan sendiri oleh pelancong terbabit menerusi satu video di TikTok yang sehingga kini sudah meraih hampir dua juta tontotan.
"Apabila anda kehilangan telefon di Pantai Canggu, sediakan ganjaran sebanyak 2 juta untuk pekerja pemandu yang menemuinya," tulis pelancong itu.
Rakaman tersebut turut menunjukkan beberapa orang pemandu teksi motosikal yang sedang berusaha mencari telefon pintar berkenaan.
Selepas penemuan barang hilang tersebut, klip terbabit kemudiannya memaparkan pemberian ganjaran berkenaan yang disifatkan tidak begitu realistik.
Pelancong itu dilihat mengira 20 keping wang kertas 100,000 Rupiah Indonesia yang bersamaan dengan 2 juta rupiah.
Sekiranya ditukarkan, jumlah tersebut bersamaan dengan 133 dolar Amerika Syarikat atau RM620.
Meskipun nilai tersebut dilihat tidaklah mencecah ribuan mahupun jutaan ringgit, ganjaran tersebut disifatkan cukup besar dan hanya kurang sedikit daripada purata gaji bulanan pekerja sektor perkhidmatan di Bali.
Seorang warganet Indonesia menulis, "Ia mungkin murah untuk anda, tetapi kawan, terima kasih, anda baru sahaja membahagikan hari seseorang." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram