Pangsapuri B40 tapi iklan macam teres T20, ramai takut nak beli, tanggung risiko jawab dengan MPHS


Keadaan rumah apartmen yang sudah diubah suai sehingga kelihatan seperti rumah teres di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

TINDAKAN pemilik rumah mengiklankan sebuah rumah pangsapuri di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor pada Selasa menimbulkan kebimbangan ramai berikutan keadaan rumah itu diubah suai dengan ia kelihatan seakan-akan rumah teres.

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Segalanya Hartanah, pemilik rumah tersebut menjelaskan segala ciri rumah secara terperinci berserta beberapa gambar.

"Untuk dijual. Apartmen Dahlia Bukit Beruntung Rawang. Jenis: pangsapuri kos rendah, tingkat bawah, tiga bilik, dua bilik mandi dan sudah diubah suai," antara ciri-ciri yang ditulis.

BACA LAGI : Ramai mengadu sakit hati ejen hartanah tak jujur iklan harga rumah

msg1050426791-22140

Antara gambar dalam rumah yang diiklankan. — Facebook

Namun hantaran itu dilihat menerima pelbagai reaksi sekali gus menimbulkan rasa sangsi terhadap orang ramai.

Hal ini kerana, ramai meluahkan rasa seakan-akan tertipu dengan iklan yang dipaparkan kerana melalui gambar tersebut, ia dilihat seperti rumah teres serta bimbang terpaksa menanggung risiko jika diambil tindakan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Tidak kurang juga yang mendakwa bahawa tindakan pemilik asal untuk menjual pangsapuri itu seperti mencurigakan selepas mengetahui ia rupanya rumah pangsapuri mampu milik bagi golongan B40.

"Mula-mula tengok kawasan depan ada awning (bumbung) tu ingatkan rumah teres, tapi iklan rumah pangsapuri. Rupanya rumah pangsapuri gabung semi teres B40 selera T20.

"Kalau boleh minta MPHS periksa dulu, takut lepas beli MPHS saman dan roboh pula," tulis Ashan Bin Ahmad.

"Berhati-hatilah siapa yang nak beli rumah ni," tulis Hasrullah Azrulkhan.

"Tak malunya pemilik sebelum ini buat tanah awam macam tanah sendiri," komen Anasera Sophea.

msg1050426791-22141

Bahagian dalaman rumah yang diiklankan. — Facebook

Bagaimanapun, pengguna akaun asal hantaran iklan itu kemudiannya memberi maklum balas dengan menyatakan pemilik asal rumah berkenaan akan mengubah kembali binaan rumah seperti sedia kala.

BACA LAGI : MBIP banteras aktiviti ubah suai rumah secara haram

"Terima kasih atas komen-komen dan keprihatinan anda semua. Untuk makluman, pemilik rumah akan pecahkan semua binaan kekal tersebut dalam masa terdekat menjadi seperti sedia kala supaya tidak menjadi isu kepada pembeli nanti.

"Jadi isu kompaun kepada pembeli tak akan timbul lagi," komennya.

Setakat ini, tiada lagi kenyataan yang dikeluarkan MPHS berhubung isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram