Jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus bantu rakyat miliki rumah pertama


  • Primer
  • Khamis, 27 Jul 2023

Jaminan pembiayaan termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai. — Gambar hiasan

PRIHATIN dengan keluh kesah rakyat yang tidak dapat menyediakan deposit bagi memiliki rumah pertama, Kerajaan Perpaduan mengumumkan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus itu yang akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman.

"Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai,” kata beliau semasa mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berikutan penambahbaikan SJKP berkenaan, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median.

Anwar berkata, penyediaan perumahan awam juga diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.

Menerusi Ekonomi MADANI itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan berikrar memastikan semua rakyat menikmati akses yang universal daripada segi infrastruktur asas sama ada bekalan air atau elektrik.

"Rakyat di kawasan desa wajar mempunyai perkhidmatan asas bertaraf dunia. Setakat 2022, 97 peratus penduduk Malaysia mempunyai akses kepada bekalan air terawat,” kata beliau.

Bagi menangani isu bekalan air di Kelantan dan Sabah, Anwar mengumumkan tambahan keseluruhan RM800 juta bagi penyelesaian jangka pendek untuk kedua-dua negeri itu.

"Kerajaan juga akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir,” kata Perdana Menteri.

Mengenai usaha menambah baik jaringan kesalinghubungan udara, Anwar berkata pelaksanaan Projek Mass Rapid Transit (MRT3) di Lembah Klang akan diteruskan setelah kerajaan memastikan kos yang munasabah selain melaksanakan Bas Rapid Tranport di Johor Bharu, Johor dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

"Pengurusan pengangkutan awam darat disatukan supaya semua aset dapat dioptimumkan dengan menumpukan usaha membina rangkaian pengangkutan awam antara bandar dan dalam bandar serta menambah baik isu jaringan terakhir melalui kaedah cekap kos termasuk bas elektrik,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram