Pan-gon perlu lebih waspada dengan benteng pertahanan skuad Harimau Malaya — Penganalisis


  • Podium
  • Selasa, 09 Jan 2024

Sebahagian sesi latihan skuad kebangsaan menjelang perlawanan berdepan Jordan aksi Piala Asia. — Facebook/FAM

MENJELANG pembukaan kempen Kumpulan E Piala Asia 2023 di Qatar, pastinya keputusan positif yang diraih dalam aksi persahabatan berdepan Syria dilihat memberi keyakinan kepada skuad kebangsaan nanti.

Meskipun diundi dalam kumpulan yang sukar, skuad kendalian Kim Pan-gon dilihat mampu mempamerkan aksi persembahan yang cemerlang di bumi Qatar.

Tampil mengulas potensi semasa skuad Harimau Malaya, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Malaysia mempunyai potensi untuk meraih keputusan positif berdepan Jordan nanti.

"Malaysia mempunyai potensi dan kita boleh ambil keputusan tersebut sebagai pemangkin semangat dan jadikan ia sebagai ransangan serta keyakinan untuk berdepan Jordan.

"Tapi kita tetap tidak boleh berpuas hati dengan keputusan 2-2 itu berdepan Syria,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Terus dipersalahkan, Dominic Tan tetap dapat sokongan berjuang di Piala Asia

WhatsApp Image 2024-01-09 at 19.40.29

Paulo Josue (tiga dari kiri) mencetak gol penyamaan sekali gus membantu Harimau Malaya meraih keputusan seri aksi pemanas badan berdepan Syria. Facebook/FAM

Menurutnya, skuad kebangsaan perlu menggunakan peluang sebaik mungkin apabila berdepan Jordan.

"Kita boleh mengambil keputusan perlawanan itu sebagai positif kerana kedua-dua pasukan berada dalam ranking yang berdekat saja, Syria ranking ke-91 dan Jordan ranking ke-87.

"Kalau dalam bola sepak, ranking yang dekat saja, orang kata keupayaan pasukan itu adalah sama.

"Jadi, Harimau Malaya pastinya tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pasukan yang ranking lebih kurang sama walaupun kita ranking ke-130.

"Sekarang, Syria dan Jordan berdepan masalah yang sama iaitu masalah prestasi, ini adalah kesempatan yang terbaik untuk skuad kebangsaan membuktikan pasukan kita lebih bersedia.

"Kita agak risau dengan keupayaan pasukan untuk menghasilkan jaringan tapi aksi berdepan Syria, Arif Aiman Hanapi dan Paulo Josue berjaya hasilkan jaringan, ia petanda yang baik di barisan hadapan kita,” jelasnya.

Tampil mengulas benteng pertahanan yang mudah goyah, Pekan berkata, bahagian tersebut perlu diperkemaskan lagi kerana ia merupakan kelemahan ketara dalam skuad Harimau Malaya.

"Tapi, kita masih ada kelemahan di bahagian pertahanan dan ia satu petanda yang membimbangkan kerana benteng kita mudah melepaskan jaringan apabila diberi tekanan oleh lawan.

“Bahagian itulah yang sedikit membimbangkan kita dan perlu diperkemaskan, saya tahu pastinya Pan-gon juga menyedari perkara tersebut,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram