PASUKAN Pantai Timur, Terengganu FC telah membuat keputusan dengan melepaskan 12 pemain mereka pada musim ini.
Dalam 12 nama itu, beberapa nama utama seperti Habib Haroon, Liridon Krasniqi serta Sony Norde dilepaskan oleh naib juara Piala Malaysia 2023 tersebut.
Selain itu, nama-nama seperti Adisak Kraisorn, Omid Nazari serta Sardor Kulmatov turut dilepaskan dengan isyarat jelas ditonjolkan Terengganu untuk menukar barisan pemain import mereka.
Hanya pemain utama seperti Ivan Mamut dan Nurillo Tukhtasinov dikekalkan untuk memastikan cabaran pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner terus menyala pada musim depan.
Situasi tersebut membuka ruang kepada peluang untuk Terengganu bagi mendapatkan pemain baharu yang boleh digajikan dengan lebih rendah.
Oleh kerana itu, terdapat khabar angin yang Terengganu dalam usaha untuk mewujudkan Uzbek Connection di bahagian tengah dengan menggandingkan Nurillo dengan seorang lagi maestro.
Terengganu dikatakan dalam misi untuk membawa semula bekas pemain mereka yang juga berasal dari Uzbekistan iaitu Sanjar Shaakhmedov.
Adakah Uzbek Connection akan tercipta dengan kepulangan Sanjar? — Facebook/Terengganu FC
Pemain tengah berusia 33 tahun itu sebelum ini pernah beraksi untuk Terengganu selama dua musim daripada tahun 2019 hingga 2021.
Kini beraksi untuk kelab utama Uzbekistan iaitu Sogdiana Jizzakh, kontrak Sanjar sebenarnya akan tamat pada 31 Disember 2023. Selepas itu, dia bebas untuk bercakap dengan mana-mana pasukan termasuklah Terengganu.
Potensi untuk membawa semula Sanjar ke Gong Badak adalah tinggi kerana faktor pemain tersebut yang dianggap tidak mempunyai kelab bermula 1 Januari 2024.
Selain itu, dengan keputusan Terengganu melepaskan majoriti pemain import mereka membolehkan Sanjar mengisi kekosongan tersebut untuk menguatkan pasukan.
Malah, Sanjar pastinya tiada masalah untuk kembali ke Terengganu atas faktor pernah beraksi bersama mereka sebelum ini. Malah, dia dianggap sebagai salah seorang pemain yang disenangi oleh pendukung skuad Penyu.
Masih terlalu awal untuk mengatakan adakah ia akan terjadi. Namun jika ia berlaku, pastinya satu perkhabaran menarik untuk penyokong Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram