BEBERAPA kelab Liga Super musim ini dilaporkan mengalami masalah kewangan begitu meruncingkan sehingga staf serta pegawai pasukan berdepan isu tunggakan gaji.
Kelab berpangkalan di Borneo tanah air, Sabah FC difahamkan menjadi antara yang terkesan meskipun berada dalam prestasi terbaik dua tahun kebelakangan ini.
Meskipun memiliki skuad cukup baik, sumber kewangan yang tidak menentu menyaksikan pihak pengurusan terpaksa mencari jalan lain dalam menampung kos operasi kelab.
Isu tersebut bagaimanapun tidak didedahkan secara terbuka dengan pemain serta staf kejurulatihan Sabah FC dilihat tidak mahu merosakkan reputasi pasukan.
Namun, baru-baru ini, masalah berkenaan semakin diketahui ramai apabila kakitangan kelab bertindak melakukan langkah protes untuk menceritakan situasi itu.
Nama YouTube Sabah FC yang diubah kepada 'Bye' mengundang perhatian ramai.
Laman media sosial rasmi YouTube kelab ketika ini sudah diubah nama kepada 'Bye' berbanding 'Sabah FC Official' yang digunakan sejak sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, kakitangan terbabit turut bertindak meninggalkan satu komen menceritakan bahawa mereka tidak dibayar gaji sejak empat bulan lalu.
Perubahan berkenaan kemudiannya mendapat perhatian penyokong skuad Sang Badak yang mendesak pihak pengurusan supaya menyelesaikan isu terbabit.
"Mungkin mereka sudah cuba pelbagai cara, cuma tidak berkesan. Empat bulan bukanlah tempoh yang sekejap. Saya sokong 100 peratus tindakan pihak media Sabah FC yang menuntut hak mereka," kata Razdey Ruslin.
"Harapnya cara sebegini dapat selesaikan masalah gaji belum dibayar. Alang-alang tu, dedahkan sahaja siapa yang tidak ambil endah mengenai isu ini," komen Mega Dailia.
Skuad Sang Badak masih berada di prestasi terbaik sepanjang musim. — Facebook/Sabah FC
"Ohh, patutlah kualiti video di YouTube sudah berbeza, rupanya pihak media tidak dibayar gaji. Rupanya disorokkan pula isu dalaman," kata HG 0605.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir mengambil keputusan mengejutkan apabila meletakkan jawatannya beberapa hari selepas saingan Liga Super 2023 melabuhkan tirainya.
Di samping itu, skuad Sang Badak juga dilaporkan akan kehilangan beberapa tonggak utama, namun perkara itu segera diselesaikan pihak pengurusan.
Sabah FC yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee meneruskan rentak cemerlang apabila menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga selepas meraih 54 mata.
Prestasi memberangsangkan turut disaksikan di pentas Asia apabila pasukan terbabit melayakkan diri ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2023/24. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram