[VIDEO] Perang mulut, pencerobohan orang awam bikin aksi bola sepak sosial di Sabah tegang


  • Podium
  • Khamis, 21 Dis 2023

Tangkap layar daripada video yang tular di media sosial memaparkan kekecohan antara kedua-dua pasukan.

TULAR di media sosial berkaitan sebuah video memaparkan pergaduhan ketika aksi bola sepak amatur antara pasukan dari daerah Tawau dan Telupid di Sabah.

Kejadian difahamkan berlaku di Padang Sukma A, Kota Kinabalu dalam perlawanan Cabaran Sukan Bola Sepak Saga X pada Khamis.

Dalam video berdurasi lebih seminit itu, kelihatan beberapa pemain sedang bertengkar dengan rakan sepasukan masing-masing cuba meleraikan keadaan.

Situasi dilihat semakin tegang apabila terdapat individu yang dilihat staf kejurulatihan pasukan bertindak menceroboh padang untuk memisahkan antara satu sama lain.

Namun, usaha itu tidak berhasil selepas seseorang berbaju kelabu melepaskan tumbukan ke atas pemain berjersi kuning sehingga terpaksa ditarik orang ramai.

Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal dengan masing-masing dilihat enggan mengeruhkan lagi situasi dan meninggalkan kawasan padang.

Sehingga kini, tiada laporan diterima mengenai kekecohan berlaku dalam perlawanan tersebut dengan tiada pihak difahamkan mengalami kecederaan serius.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Telupid yang berbaju serba merah meraih kemenangan 2-0 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Pasukan berkenaan bakal berdepan pasukan dari Tenom yang baru-baru ini menempah tiket ke aksi final selepas menyingkirkan lawan mereka dari Ranau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram