Ramai anggap pilihan Arif Aiman kekal di JDT satu langkah terbaik


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

Arif Aiman memilih untuk kekal bersama JDT selepas tiga tahun membuktikan kualitinya buat pasukan terbabit. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEJAK mencipta debut dalam Liga Super 2020 bersama Johor Darul Takzim (JDT), nama Arif Aiman Hanapi terus meningkat sebagai salah seorang permata paling bersinar negara.

Dua gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) pada 2021 dan 2022 menjadi bukti bahawa pemain berusia 21 tahun berkenaan memiliki masa depan cukup cerah.

Tidak cukup dengan itu, statistik Arif Aiman musim ini adalah cukup membanggakan dengan 24 gol dijaringkannya buat JDT dalam kesemua pertandingan, termasuk dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Prestasi cemerlang tersebut turut diteruskan ketika dia beraksi bersama Harimau Malaya, terutamanya semasa bertemu Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jun lalu.

Jadi, dengan usianya masih muda, ramai beranggapan bahawa dia mempunyai peluang cerah untuk beraksi di liga lebih bermutu sekitar Asia, seperti di Jepun atau Korea Selatan.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 17.47.48

Arif Aiman memilih untuk terus menabur bakti bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, harapan berkenaan tidak kesampaian apabila pada Selasa, JDT mengumumkan Arif Aiman sudah menandatangani kontrak baharu bersama juara Liga Super itu.

Keputusan berkenaan sekali gus menutup ruang buat kelab-kelab luar untuk mendapatkan khidmatnya secara percuma apabila mereka perlu menebus kontrak jika mahu membawa masuk pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Bagaimanapun, bagi rata-rata penyokong skuad Harimau Selatan, mereka berasakan ia merupakan langkah terbaik buatnya untuk terus memberi tumpuan dalam arena bola sepak tanah air terlebih dahulu.

"Terbaik Arif Aiman, bagus kerana anda pilih untuk kekal bersama JDT, dekat sini pun boleh berjaya dan menyinar kecuali jika dapat tawaran lebih baik dari Liga Jepun atau Korea Selatan," kata Kaito Figuro.

"Ni baru betul pemain JDT, dari akademi dan secara perlahan-lahan tembus ke dalam skuad senior. Tahniah Arif Aiman, teruskan konsistensi," pesan Ibnu Ibrahim Ats-tsalist.

ariff

Arif Aiman turut mempamerkan kebolehannya bersama skuad kebangsaan. Facebook/FAM

"Satu percaturan yang bijak daripada Arif demi masa depannya. Jika berpindah ke kelab atau negeri lain, percayalah dia tidak akan ke mana kerana keserasian sebagai keluarga JDT tidak akan dirasai dalam mana-mana pasukan tempatan," kata Mohd Akbar.

Arif Aiman sebeleum ini menyertai akademi kelab Selatan tanah air berkenaan pada 2018 sebelum dinaikkan pangkat daripada pasukan JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior.

Reputasi Arif turut melonjak di persada Asia ketika ini apabila bakatnya mula diiktiraf media antarabangsa yang cukup berbangga dengan kebolehannya.

Namanya juga dijangka akan terus meningkat sekiranya prestasi membanggakan tersebut dapat diteruskan bersaam Harimau Malaya ketika kempen Piala Asia akan datang.

Selain itu, penyerang sayap tersebut juga dikatakan sebagai calon terbaik untuk merebut gelaran MVP tahun ini meskipun perlu berdepan cabaran hebat daripada rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Faisal Halim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram