Insiden pergaduhan penyokong Malaysia-Vietnam di SSA pernah dapat campur tangan AFC


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Terdapat seorang penyokong Vietnam dilaporkan cedera ketika diserang peminat Malaysia pada 2014. — Agensi

DALAM bola sepak, sudah menjadi lumrah apabila sekali sekala, akan terdapat kekecohan dalam kalangan penyokong.

Ada masanya, ia menjadi tidak terkawal hinggakan ada yang tercedera, malah lebih teruk sehingga kehilangan nyawa pun ada.

Walaupun perkara tersebut merupakan satu lumrah yang tidak baik dalam bola sepak, namun ia sukar untuk dihapuskan tak kira di mana ia dimainkan.

Begitu juga di Malaysia, insiden ganas melibatkan penyokong pernah berlaku di negara ini sehinggakan mendapat perhatian meluas dunia.

553 (1)

Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2014. — Agensi

Sembilan tahun lalu, kejadian buruk terjadi di Stadium Shah Alam, Selangor apabila sekumpulan penyokong Malaysia dan Vietnam terlibat dalam kekecohan hingga mengakibatkan kecederaan.

Usai tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2014 melibatkan kedua-dua negara dimenangi Vietnam dengan jaringan 2-1, kekecohan berlaku dengan penyokong Malaysia dikatakan terlebih dahulu menyerang peminat Vietnam.

Kejadian tersebut telah menyebabkan seorang penyokong Vietnam cedera. Hasil daripada kejadian itu, pihak Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) telah mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi surat tunjuk sebab akibat perkara tersebut.

Namun begitu, kes tersebut menjadi begitu serius hinggakan tindakan AFF tidak lagi dipakai, sebaliknya pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masuk campur menguruskan situasi itu. Ia disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung AFF ketika itu, Datuk Azzuddin Ahmad.

"Benar, mereka (FAM) telah memberikan respons (surat tunjuk sebab) tetapi saya perlu jelaskan yang pihak AFC memberitahu mereka akan mengendalikan kes ini.

"Memandangkan AFC adalah badan lebih tinggi berbanding AFF, jadi kami tidak akan menguruskan kes ini lagi," kata Azzuddin.

vietnam

Penyokong Vietnam berlari menyelamatkan diri. — Agensi

Malaysia bagaimana pun berjaya layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam 5-4 menerusi agregat sebelum kecundang kepada Thailand dalam aksi akhir.

Selepas hampir sedekad daripada situasi tersebut, penyokong Malaysia semakin matang dan kini dianggap sebagai yang terbaik di Asia Tenggara.

Malah, tidak keterlaluan untuk katakan penyokong Malaysia dianggap sebagai antara yang terbaik di Asia terutamanya setiap kali Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram