‘Jumpa kawan lama’, Rizal Ghazali masih berteka-teki, idam aksi terakhir terbaik bersama Sabah masa jumpa Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Kontrak Rizal (kiri) bersama Sabah akan tamat pada 31 Disember ini. — Facebook/Sabah FC

PEMAIN Sabah FC, Rizal Ghazali bakal meninggalkan pasukan tersebut pada akhir musim ini selepas kontraknya tamat.

Kontrak bekas pemain kebangsaan itu bersama-sama skuad Badak akan berakhir pada 31 Disember dan dia dijangka akan kembali semula ke Semenanjung Malaysia pada musim depan.

Menyedari masanya bersama-sama Sabah kini semakin singkat, Rizal pastinya ingin memberikan yang terbaik buat pasukannya itu pada aksi terakhir Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Bakal beraksi buat kali terakhir sebagai pemain Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Rizal mahu memberikan tiga mata buat kelabnya supaya dapat menutup kempen Liga Super musim ini dengan kemenangan.

"Kami akan berdepan bekas kelab saya di Likas. Pastinya kami ingin menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga.

"Ia adalah sebuah perlawanan yang penting. Pastinya, kami ingin tamatkan musim ini dengan baik sebagai pasukan tempat ketiga," kata Rizal.

410478433_746916810808346_8657851955082499422_n

Rizal mahu lebih dekat dengan ibu bapanya yang semakin berusia. — Facebook/Sabah FC

Sebagai konteks, kemenangan Sabah ke atas KDA pada aksi terakhir liga akan membantu mereka melepasi Sang Kenari dalam carta Liga Super. Sabah kini mempunyai 51 mata sementara KDA pula mengumpul 53 mata.

Bercakap mengenai masa depannya, Rizal disebut-sebut bakal kembali semula ke pangkuan KDA namun masih tiada yang konkrit mengenai perkara itu terutamanya selepas gambarnya bersama bekas rakan sepasukan, Baddrol Bakhtiar tersebar.

Baddrol yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah bagi kawasan Gurun dikatakan menjadi 'ejen' kepada perpindahan Rizal ke KDA.

Selain KDA, Penang FC dan Terengganu FC dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun itu.

Buat masa sekarang, keutamaan Rizal adalah untuk berada dekat dengan ibu bapanya yang kini semakin berusia.

"Saya berjumpa dengan Baddrol dan gambar itu menjadi tular tetapi ia sekadar perjumpaan antara kawan-kawan, dan kami berbincang mengenai potensi membina pasukan di kawasannya.

"Saya akan kembali ke Kedah untuk bersama-sama dengan kedua ibu bapa saya. Mereka semakin berusia dan adalah lebih baik untuk saya dekat dengan mereka," ujar Rizal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram