SEJAK mencipta debut buat skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih terus menjadi tonggak utama buat pasukan dengan kehadirannya sebagai pemain tengah adalah cukup penting.
Kebolehannya dalam membuat hantaran berkualiti serta ketepatannya untuk membuat rembatan dari jauh mengangkatnya sebagai tonggak penting pasukan.
Meskipun struktur fizikalnya tidaklah sehebat pemain import, kedudukan Azam dalam kesebelasan utama sukar digugat dengan dia kini sudah mencatatkan lebih 200 penampilan buat Sri Pahang FC.
Kualitinya itu turut menyaksikan beberapa kelab Liga Super berkali-kali cuba mendapatkan khidmatnya, termasuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.
Namun, pemain berasal dari Maran, Pahang itu memilih untuk kekal di negeri kelahirannya, sekali gus menempa namanya sebagai salah seorang legenda sepanjang sejarah penubuhan kelab.
Azam Azih boleh dianggap sebagai seorang permata bersinar dalam skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, kesetiaan Azam bersama Sri Pahang FC dilihat mula menemui titik noktahnya apabila dia mula menurunkan hantaran berkaitan pasukan itu di laman Instagram peribadinya.
Tindakan itu disedari penyokong skuad Tok Gajah yang mula menimbulkan spekulasi bahawa pemain tengah tersebut bakal meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan selepas lapan tahun menabur bakti.
"Keluarlah Azam jika ada peluang. Kelab ini seperti tiada perancangan jangka masa panjang dengan ketiadaan fasiliti dan stadium tersendiri," kata Mohd Faid Abdullah.
"Pergi sahaja pasukan lain kalau sudah tamat kontrak dan jika ada pasukan lain yang berminat. Fikirkanlah masa depan sendiri," ujar Hamdan Othman.
"Pergi Selangor FC lah Azam, ada juga dapat peluang beraksi ke Asia musim depan. Sudah lama sangat rasanya di Pahang. Biarlah tiada status legenda sekali pun," luah Fatihah Mustafa.
Tindakan Azam menurunkan beberapa hantaran mengenai Sri Pahang FC menimbulkan persoalan.
Sebelum ini, pemain tengah terbabit berkali-kali dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan skuad Tok Gajah dengan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC merupakan destinasi terbaik.
Namun, dia memilih untuk meneruskan legasinya buat Sri Pahang FC dengan menegaskan bahawa dia lebih tertarik untuk menabur bakti di negeri kelahirannya.
Bagaimanapun, isu kecederaan dialaminya beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan prestasinya kian merudum sehingga menutup peluangnya beraksi buat skuad kebangsaan.
Untuk rekod, Azam mencatatkan 19 penampilan Liga Super musim ini dengan dua gol dan dua bantuan jaringan direkodkannya untuk membantu skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram