SEKIRANYA ditanya peminat bola sepak tanah air hari ini, mereka pastinya cukup sinonim dengan nama penyerang kelahiran Labuan, Ahmad Hazwan Bakri.
Dia yang pernah diangkat sebagai salah seorang penyerang terbaik negara pernah digeruni pihak lawan apabila kebolehannya sukar dibendung satu ketika dahulu.
Dua musimnya bersama Selangor FC bermula 2014 menjadi medan buatnya menempa nama sehingga orang ramai mula melabelnya sebagai pengganti kepada bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali.
Pandangan itu dikuatkan lagi apabila Hazwan mencatatkan jaringan hatrik dalam debutnya bersama skuad kebangsaan ketika bertemu Sri Lanka dalam aksi persahabatan 11 tahun lalu.
Bagaimanapun, sinar yang dimilikinya kian terpadam apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai jaguh bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) pada 2016.

Hazwan pernah diangkat sebagai permata baharu negara ketika zaman kemuncaknya beberapa tahun lalu.
Peluang yang terhad bersama skuad senior serta persaingan cukup hebat menyaksikannya lebih kerap diletakkan di bangku simpanan atau beraksi dalam pasukan belia.
Berdasarkan rekod, kali terakhir Hazwan beraksi dalam saingan Liga Super adalah ketika JDT berdepan Sri Pahang FC musim lalu dengan dia diberikan peluang berada dalam kesebelasan utama.
Sejak itu, pemain yang kini berusia 32 tahun tersebut tidak lagi berpeluang merasai minit permainan bersama pasukan utama apabila dia hanya beraksi buat JDT II dalam saingan Piala MFL 2023.
Meskipun berjaya menjaringkan dua gol dalam lima penampilan, ia tidak boleh dianggap sebagai satu batu loncatan buat Hazwan sekiranya dia mahu kembali membuktikan kebolehannya.
Jadi, dalam usaha meraih penampilan di peringkat senior dengan lebih kerap, Hazwan dilihat bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan akan datang.

Tangkap layar daripada hantaran Hazwan di Instastory peribadinya.
"Terima kasih," katanya ringkas menerusi satu hantaran di InstaStory peribadinya sambil menyertakan perkongsian memaparkannya beraksi buat JDT pada 2021.
Meskipun perkara itu tidak memberi sebarang mesej tersurat, ia seakan-akan memberi gambaran bahawa Hazwan mahu mencari majikan baharu bagi mendapatkan semula sentuhannya di atas padang.
Kehilangannya dijangka tidak akan terlalu dirasakan JDT memandangkan jentera serangan mereka musim ini cukup mantap dengan kehadiran Bergson da Silva, Heberty Fernandes dan Diogo.
Selain itu, kepercayaan untuk menjaringkan gol juga boleh diletakkan kepada pemain sayap utama pasukan, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri yang cukup digeruni ketika ini.
Tidak cukup dengan itu, skuad Harimau Selatan juga memiliki seorang lagi bekas penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang masih mampu mengemudi barisan serangan meskipun lebih kerap diletakkan di bangku simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
