Buruh warga Indonesia maut tertimbus, CIDB arah henti kerja di tapak projek LTU Kuala Lipis


  • Primer
  • Rabu, 13 Dis 2023

Khairul Anam meninggal dunia di Kuala Lipis, Kuantan akibat gelunsuran tanah.  —Khidmat Malaysia

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengarahkan kerja di tapak projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 4 di Kuala Lipis, Kuantan, Pahang dihentikan, susulan kematian seorang buruh Indonesia akibat ditimbus tanah, Isnin lepas.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata, subkontraktor terlibat diarahkan menghentikan kerja penggalian sehingga kawalan mencukupi terhadap kerja itu dikemukakan kepada CIDB dan kontraktor mematuhi arahan keselamatan kerja penggalian tanah daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Siasatan awal CIDB mendapati subkontraktor terlibat tidak mengisytiharkan projek itu di sistem CIDB dan tiga pekerja binaan termasuk mangsa yang maut tidak mempunyai perakuan pendaftaran personel binaan CIDB manakala seorang lagi mempunyai perakuan pendaftaran tamat tempoh.

photo_2023-12-13_12-26-37

Operasi mayat tertimbus tanah di tapak projek pembinaan LTU di Kuala Lipis Bomba Lipis.

"Selain itu, penyelia tapak binaan bagi projek itu juga didapati tidak diakreditasi sebagai Penyelia Tapak Bina," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaid berkata, siasatan terhadap insiden itu dijalankan mengikut Seksyen 34B (1) Akta CIDB (Akta 520) berkaitan kewajipan kontraktor yang antara lain mengemukakan maklumat berhubung kerja pembinaan, memastikan keselamatan dan memastikan kerja dijalankan mengikut peruntukan Akta CIDB.

Seksyen 34D pula menyatakan kematian yang disebabkan oleh pelanggaran kewajipan oleh kontraktor, boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kegagalan mematuhi keperluan memiliki perakuan personel pembinaan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM5,000 seorang.

Pada Isnin, polis mengesahkan Khairul Anam, 28, dari Jawa Timur, Indonesia maut selepas ditimbus tanah menggelongsor ketika mengukur kedalaman longkang yang baru digali di tapak projek yang terletak di Kampung Berembang, Kuala Lipis.

Mangsa difahamkan baru lima bulan bekerja dengan syarikat subkontraktor bagi kerja pembinaan laluan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram