Kesetiaan diuji, Ong Kim Swee dikaitkan dengan perpindahan sertai FAM, gergasi Indonesia


  • Podium
  • Isnin, 09 Okt 2023

Datuk Ong Kim Swee kini berada dalam radar dua pasukan. — Facebook/Sabah Football Club

TERDAPAT sebuah khabar yang mungkin tidak enak didengar buat penyokong Sabah FC terutamanya ketika mereka sedang memburu kejuaraan Piala AFC.

Sejak hadir ke Stadium Likas, Kota Kinabalu, pengendali mereka iaitu Datuk Ong Kim Swee telah berjaya memberikan kestabilan kepada pasukan.

Kedatangan bekas pengendali skuad kebangsaan itu telah membawa angin baharu kepada skuad Badak. Kim Swee juga bertanggungjawab kepada kehadiran nama-nama besar seperti Khairul Fahmi Che Mat, Amri Yahyah serta Baddrol Bakhtiar yang kini tidak lagi bersama pasukan selepas memilih untuk terjun ke bidang politik.

Kim Swee juga turut membantu Sabah kembali menjadi pasukan yang digeruni satu ketika dahulu. Hasil bimbingan beliau, Sabah berjaya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga musim lalu sekali gus layak ke pertandingan Piala AFC.

Kini sedang berjaya membimbing Sabah dalam keadaan selesa di Asia, khabar angin datang bertiup melibatkan masa depan Kim Swee bersama-sama kelab Borneo tersebut.

385369009_706808574819170_4212186292171765659_n

Sabah cemerlang di Piala AFC hasil bimbingan Kim Swee. — Facebook/Sabah Football Club

Kim Swee dikaitkan dengan perpindahan ke dua destinasi. Pengendali berusia 52 itu dikaitkan dengan perpindahan semula ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Khabar angin yang mengatakan Kim Swee bakal pulang ke Wisma FAM, Kelana Jaya itu menimbulkan spekulasi. Adakah dia bakal menyertai skuad kebangsaan bersama-sama Kim Pan-gon?

Atau sebenarnya beliau akan menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) negara? Jika benar, mahukah Kim Swee hanya sekadar menjadi pembantu kepada Juan Torres Garrido yang dikatakan merupakan pilihan FAM bagi menggantikan E. Elavarasan yang melepaskan jawatan ketua jurulatih selepas tamat tugasan kelayakan Piala Asia B-23.

Satu lagi destinasi yang dikaitkan dengan Kim Swee adalah gergasi bola sepak Indonesia iaitu Persija Jakarta.

Persija kini sedang mengalami musim yang suam-suam kuku. Selepas 15 perlawanan, mereka menduduki kedudukan ke-10 Liga 1 Indonesia dengan rekod empat menang, lapan seri dan tiga kalah.

Rekod tersebut amat jauh daripada standard sebenar Persija sebagai gergasi bola sepak Indonesia. Lebih memalukan, mereka kini jauh ditinggalkan seteru utama iaitu Persib Bandung yang berada di kedudukan ketiga.

Kedudukan pengendali Persija, Thomas Doll pastinya tergugat dengan situasi tersebut. Oleh itu, seandainya dia dipecat, maka kelab Indonesia itu boleh menumpukan tumpuan mereka ke arah Kim Swee.

Pastinya Persija sudah memerhatikan Kim Swee, lebih-lebih lagi apabila Sabah berjaya memalukan juara bertahan Liga 1 Indonesia, PSM Makassar 5-0 di gelanggang mereka pada pertemuan Piala AFC.

Jika Kim Swee pergi ke Persija, beliau akan mengikut jejak langkah bekas pengendali Kuala Lumpur City FC iaitu Bojan Hodak yang kini mengendalikan Persib.

Adakah Kim Swee akan ke Kelana Jaya atau terbang terus ke Jakarta? Mungkinkah beliau akan terus setia bersama Sabah? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram