SEBUAH sekolah awam dipercayai di Kedah didakwa sengaja enggan memaparkan gambar potret Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ruang pejabat selepas hal itu meraih perkongsian di laman media sejak Rabu.
Susun atur potret rasmi yang sepatutnya dilengkapi dengan gambar Perdana Menteri di mana-mana pejabat ataupun pusat pengajian awam, gagal dipatuhi sekolah terbabit apabila dilihat mengosongkan ruang tersebut.
Ia sekali gus mengundang kemarahan warganet yang melihat ia sebagai satu bentuk provokasi dan tidak menghormati kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim ketika ini.
Menerusi ciapan seorang warganet dikenali sebagai @lady_bugg11 di Twitter, menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap sekolah yang melakukan kesalahan tersebut.
"Elok la periksa mana-mana sekolah yang degil tak pamer gambar PMX di dinding pejabat, gaji setiap bulan ambil tapi tunjuk memberontak," ciapnya.
Meraih lebih 800 perkongsian, rata-ratanya menganggap ia sebagai satu perbuatan biadab dan tidak menghormati pemimpin negara.
"Ramai je sekolah yang macam ini, adik saya ustazah pengetua dia siap larang masukkan doa untuk kerajaan Madani lagi, tapi adik saya masukjan juga," kata fazillahkhazali.
"Tukar je pengetua dan semua guru di sekolah-sekolah macam ini, sekolah bukan medan politik, sesiapa sahaja perdana menteri atau menteri besar gambar mereka mesti ada," ujar RohimmiNoor.
"Kurang ajar betul, sangat memalukan apabila guru sendiri berperangai macam itu, bagaimana nak mendidik pelajar kalau diri sendiri taksub dengan politik," tambah AidilShamsuri.
Belum ada sebarang kenyataan polis mahupun KPM berhubung isu terbabit setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil melaporkan perkara itu kepada pihak berwajib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram