Tun Mahathir gesa SPRM benarkan Aman Palestin guna dana RM10 juta bantu Gaza


  • Primer
  • Khamis, 30 Nov 2023

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Aman Palestin Berhad dibenarkan untuk menggunakan dana RM10 juta bagi membantu penduduk Gaza.

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan untuk membantu penduduk di Gaza.

Beliau dalam pada masa sama meluahkan kebimbangan terhadap penderitaan penduduk Palestin yang dikhuatiri bertambah teruk menjelang musim sejuk, selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.

"Sebelum ini, Aman Palestin menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon bagi mengurangkan kesengsaraan mereka, namun telah dibekukan SPRM susulan siasatan ke atasnya.

"Malangnya, Aman Palestin kita disiasat oleh SPRM dan akaun-akaun mereka dibekukan.

"Dengan itu, bantuan RM10 juta yang disediakan tidak dapat disalurkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, SPRM seharusnya membenarkan wang itu disalurkan kepada rakyat Palestin dan penduduk lain di Semenanjung Arab bagi menghadapi musim sejuk, walaupun NGO berkenaan masih dalam siasatannya.

"Jika SPRM sangsi sama ada wang tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin atau tidak, mereka boleh hantar pegawai mereka mengiringi wakil Aman Palestin yang diamanah menyalur wang tersebut kepada rakyat Palestin.

"Jika tidak, SPRM turut sama mendera rakyat Palestin yang memang sedang menderita akibat deraan Israel," katanya.

Terdahulu, SPRM membekukan 41 akaun Aman Palestin dan beberapa syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah lebih RM15 juta.

Sementara itu, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM menyah-beku akaunnya atau berdepan tindakan perundangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram