'Mr H' disoal siasat buat kali kedua — Ketua Polis Negara


  • 112
  • Khamis, 30 Nov 2023

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan polis telah menghubungi 'Mr H' untuk siasatan kali kedua. — The Star

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa individu dikenali sebagai 'Mr H' telah dihubungi untuk satu lagi sesi soal siasat pada Khamis.

Beliau berkata, individu terbabit dihubungi untuk meneruskan rakaman kenyataannya.

"Identitinya tidak perlu didedahkan kepada umum memandangkan siasatan masih sedang dijalankan.

"Kami bimbang tindakan itu boleh mengganggu siasatan polis," katanya.

Pada Rabu, Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendedahkan identiti 'Mr H' kepada pihak polis.

Peguamnya, Faizal Rahman memberitahu pemberita bahawa kenyataan Abdul Wahab telah direkodkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Anak guamnya sebelum ini telah mengesahkan identiti 'Mr H' dengan penyiasat polis dan individu terbabit dikatakan turut memegang jawatan dalam J-Kom.

Razarudin berkata, polis telah mengambil keterangan daripada lapan individu setakat ini.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Jumaat untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan kononnya bekas pengarah J-Kom, Dr Mohammad Agus Yusoff didakwa berbual perkara tidak senonoh dengan seorang individu dikenali sebagai Wahab.

Mohammad Agus sejak itu mendakwa bahawa video itu direka untuk mensabotaj reputasinya dan pelaku merupakan individu berpangkat tinggi yang digelar 'Mr H'. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram