Kecundang di pentas Asia, pemain JDT tampak lemau lepas 'digasak' skuad HM


  • Podium
  • Khamis, 30 Nov 2023

Pemain JDT gagal meneruskan rentak cemerlang di pentas Asia selepas tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Piala ACL di Stadium Kawasaki Todoroki, Jepun pada Selasa. — Facebook/JDT

KEKALAHAN besar dialami pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di bumi Jepun nyata satu keputusan yang mengecewakan selepas dibelasah Kawasaki Frontale 0-5 dalam aksi Piala Liga Juara-juara Asia (ACL) di Stadium Kawasaki Todoroki, Jepun pada Selasa.

Beraksi di tempat lawan, JDT dilihat gagal menyerap tekanan daripada penyokong tuan rumah apabila mudah dibolosi seawal minit ke-8 sebelum empat lagi gol dijaringkan pada separuh masa kedua.

Meskipun jurulatih Esteban Solari mempertaruhkan jentera serangan utama iaitu Bergson da Silva, Heberty Fernandes, Fernando Forestieri dan juga Arif Aiman, ia masih gagal membuahkan hasil selepas Harimau Selatan dilihat lebih banyak bertahan daripada mengatur serangan ke arah lawan.

Situasi itu serba sedikit mengundang kerisauan dan pertikaian dalam kalangan penyokong yang mula membangkitkan beberapa isu sebagai punca kekalahan tersebut.

Antara yang paling hangat diperkatakan adalah kelibat beberapa pemain JDT yang tampak 'lemau' selepas pulang daripada kem latihan dan perlawanan bersama Harimau Malaya sebelum ini.

Tidak dinafikan, pasukan JDT merupakan antara penyumbang terbesar kepada skuad bimbingan Kim Pan-gon pada kelayakan Kumpulan D saingan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini selepas 11 wakil daripada kelab tersohor itu dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan.

Corbin-ong, Matthew Davies, Arif Aiman, Shahrul Saad, dan Afiq Fazail merupakan antara pemain yang dikatakan gagal mempamerkan aksi sebenar selepas kerap hilang kawalan bola dan buntu dalam merangka serangan berbahaya seperti kebiasaannya.

msg-468649021-46931

Afiq Fazail gagal merancang serangan di bahagian tengah selepas dikawal ketat pertahanan lawan. — Facebook/JDT

Ada berpendapat bahawa, faktor keletihan dan tekanan merupakan punca mengapa pemain-pemain itu kelihatan lemah dalam perlawanan bersama JDT pada Selasa.

Manakan tidak, deretan perlawanan membabitkan pasukan negara terpaksa diharungi barisan pemain Harimau Selatan yang merupakan kunci kepada kejayaan skuad kebangsaan kebelakangan ini.

Salah seorang peminat JDT, Mohd Radzi menggesa agar pemain utama pasukan itu direhatkan untuk seketika daripada mana-mana perlawanan membabitkan skuad kebangsaan.

"Beberapa pemain JDT agak keletihan kerana memikul tugas negara, jadi persembahan mereka bersama kelab di bawah prestasi sebenar, perlu diberikan rehat secukupnya supaya kembali cergas dan bertambah hebat," katanya.

"Letih dah pemain JDT ini sebenarnya, setiap minggu kena hadap pemain peringkat dunia, lawan gergasi bola sepak Asia dan dunia memang satu tekanan besar kalau kita mahukan kemenangan sentiasa," ujar Azman Nan.

"Pemain ada banyak, sepatutnya cabaran kelab perlu digantikan dengan pemain simpanan, contoh Arif Aiman mungkin boleh dimasukkan di separuh masa kedua supaya dia boleh pulih tenaga dan semangat," tambah Hafiz Hasnuddin.

Dalam pada itu, penyokong bola sepak tanah air tidak terlepas daripada mengkritik kenyataan dikeluarkan pengurus pasukan skuad muda negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mahu agar Arif Aiman dilepaskan untuk mewakili Malaysia di Pentas Piala Asia B-23, tahun depan.

Jelasnya, beliau berdoa agar pada Mei tahun depan, ada rezeki untuk pemain licik seperti Arif Aiman untuk menyertai pasukan muda negara.

Namun, ia pantas dikecam penyokong JDT yang enggan penyerang muda itu terus diberikan tekanan melampau dari pelbagai pihak.

msg-468649021-46930

Arif Aiman antara penyerang muda berpontensi dimiliki pasukan kebangsaan. — Facebook/JDT

"Jangan dibiarkan Arif Aiman sertai skuad muda negara, ramai pelapis lain ada kenapa nak dibebankan pada dia seorang sahaja," kata Farhan Uwais.

"Pengurus skuad B23 negara dah mula berangan nak dapatkan Arif Aiman, kalau dilepaskan jga memang rosak la gaya permainan dia bila bersama JDT nanti, keserasian dan corak skil dia lebih sesuai dengan skuad senior," tambah Syahmie Shaizan.

Terdahulu, skuad B-23 negara sah layak ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar pada 15 April hingga 3 Mei tahun depan selaku empat pasukan naib juara terbaik.

Shahril menerusi laporan media berkata, tempoh tujuh bulan sebelum berlangsungnya Piala Asia dikatakan bukanlah tempoh yang lama, sekali gus pihaknya perlu merangka strategi bermula sekarang untuk memastikan skuad muda negara mampu memberi tentangan sengit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram