[VIDEO] Terhidu gas klorin, 6 buruh asing sesak nafas dikejarkan ke Hospital Tawau


  • 112
  • Khamis, 30 Nov 2023

Tangkap layar insiden gas bocor yang berlaku di Pegagau Agriculture Wakuba, Tawau, Sabah pada Rabu.

SERAMAI enam pekerja tapak pembinaan di Pegagau Agriculture Wakuba, Tawau, Sabah dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas bocor dipercayai klorin pada Rabu.

Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu mengakibatkan seorang daripada mangsa pengsan dan dimasukkan ke dalam zon merah bahagian kecemasan Hospital Tawau, manakala lima lagi sesak nafas berada di zon kuning.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada Hospital Tawau pada pukul 5.37 petang sebelum 12 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa ialah warga Indonesia Jamal Umar, 30 dan lima warga Filipina dikenali sebagai Said Bading, 43; Aduk Jak, 28; Shahrul Nizam Raymond,19; Milham Ibnu Hatta, 35 dan Jai Azmi, 19.

"Sebaik tiba, pasukan bomba menerima maklumat mengenai kebocoran gas dipercayai klorin ketika kerja-kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut dijalankan di tapak pembinaan rumah pekerja.

"Semua mangsa warga asing berusia 19 hingga 35 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan jentera bomba," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pasukan bomba terus membuat kerja-kerja pembersihan dan menggunakan pengesan gas untuk mengambil bacaan radiasi bahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram