Tak nak pandang rendah, pengurus Central Coast Mariners akui TFC ada barisan pemain berbahaya


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Terengganu FC menang perlawanan pertama di Gong Badak dengan jaringan 1-0. — AFC

PERSAINGAN sengit dalam menentukan dua pasukan mara ke peringkat kalah mati dan juara kumpulan Piala AFC sedang berlaku dalam kumpulan G.

Pertarungan antara wakil Australia, Central Coast Mariners menentang kelab Malaysia, Terengganu FC menyaksikan hanya satu mata jurang melibatkan kedua-dua pasukan.

Mariners mempunyai kelebihan satu mata di depan Terengganu, namun mereka tidak mengambil sebarang kelekaan apabila bertemu Sang Penyu.

Pengendali Mariners, Mark Jackson mengakui Terengganu mempunyai segalanya untuk mencuri tiga mata di Australia. Ditambah dengan mereka berjaya menang aksi pertama di Gong Badak.

Bagi Jackson, Terengganu mempunyai beberapa pemain berbahaya yang boleh mengancam pintu gol Mariners tetapi enggan menamakannya.

Terengganu-FC-v-Central-Coast-Mariners-(4)

Central Coast Mariners (jersi kuning) kini mendahului kumpulan G Piala AFC. — AFC

"Di England, saya menyaksikan perlawanan (pertama bertemu Terengganu) di televisyen. Saya belajar banyak daripada perlawanan itu terutamanya kami mencipta banyak perlawanan tetapi tidak mengambil peluang tersebut, kami tidak cukup klinikal.

"Terengganu adalah pasukan yang bahaya. Bukan saja sejak daripada perlawanan tersebut tetapi beberapa perlawanan sejak daripada itu.

"Mereka mempunyai beberapa pemain yang mempunyai kehebatan secara individu yang boleh memberikan bahaya," kata Jackson pada sidang media pra-perlawanan.

Menyedari saingan peringkat kumpulan semakin hampir ke penghujung, Jackson berharap pasukannya dapat mencapai sasaran untuk mara jauh dalam kejohanan ini.

"Kami begitu teruja untuk beraksi dalam perlawanan ini kerana ini bukan sahaja peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya yang juga merupakan sasaran kami daripada awal.

"Sebaliknya, ia juga merupakan peluang untuk membina momentum dan konsisten dalam saingan liga," tambah Jackson lagi.

Terengganu harus mengelak daripada kalah dalam perlawanan tersebut kerana ia boleh membuka ruang buat Bali United merapatkan kedudukan mereka dengan skuad Penyu.

Setakat empat perlawanan, Terengganu mempunyai jurang sebanyak empat mata dengan kelab Indonesia tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram