HARIMAU Malaya meraih tiga mata penting dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 setelah menundukkan Chinese Taipei dengan keputusan 1-0.
Stadium Perbandaran Taipei menyaksikan perlawanan seimbang pada babak pertama apabila kedua-dua pasukan saling membuat serangan ke arah kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan kelebihan gol awal.
Rentak permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan namun gagal menembusi gawang gol lawan masing-masing berikutan palang menjadi halangan.
Meskipun sudah membuat percubaan demi percubaan, keputusan kekal 0-0 pada babak pertama sebelum kedua-dua pasukan dilihat memasuki bilik persalinan.
Darren Lok (tengah) membantu Harimau Malaya meraih tiga mata penuh dengan mencetak gol berharga. — Facebook/FAM
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat beberapa kali membuat percubaan namun gagal untuk mencipta jaringan.
Selepas bergelut untuk mendapatkan jaringan, penyerang berbisa, Darren Lok membuka tirai jaringan pada minit ke-72 sekaligus meletakkan Harimau Malaya berada pada kedudukan yang selesa.
Perlawanan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan dilihat bergelut untuk mendapatkan kemenangan namun kemenangan berpihak kepada pasukan pelawat.
Dalam pada itu, rata-rata peminat setia Harimau Malaya memuji Darren Lok sebagai pemain terbaik dalam merealisasikan impian negara untuk mengutip tiga mata penuh.
"Supersub baru kita, tahniah Darren Lok. Hasil tidak akan pernah khianati usaha," kata Syamil.
"Terbaik lah Darren Lok, masuk-masuk je terus gol," kata Ahmad Nazir.
"Terbaik Darren, ini yang kita mahu, demi lencana di dada," kata Syafik Ahmad.
Sebelum ini, nama tonggak Sabah FC, Darren Lok menjadi sebutan para penyokong tempatan.
Ia berikutan kegagalan penyerang skuad kebangsaan itu gagal mencetak jaringan ketika beraksi bersama Harimau Malaya.
Untuk rekod, kali terakhir Darren mencetak jaringan buat skuad kebangsaan adalah ketika berdepan Singapura dalam perlawanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di gelanggang keramat Harimau Malaya pada 3 Januari 2023.
Dengan jaringan yang berjaya dicetak di laman lawan itu, pastinya gol tersebut membuka mata penyokong tanah air sekaligus menutup mulut pengkritik-pengkritik agar tidak memberi komen yang negatif kepada dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram