SEPERTI sudah dijangka, Sabah FC mudah menewaskan Kelantan FC yang serba serbi kekurangan dengan keputusan 7-0 dalam perlawanan tertunda Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Pasukan Kelantan yang mengalami pelbagai masalah bermula perlahan yang berjaya dimanfaatkan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-25 menerusi sepakan penalti Jafri Firdaus Chew.
Dua bekas pemain Kedah, Farhan Roslan dan Rizal Ghazali terus menambah luka pasukan Kelantan menerusi dua jaringan pada minit ke-29 dan minit ke-38 sebelum tamat separuh masa kedua.
Bersambung babak kedua, jaringan roket oleh Irfan Fazail pada minit ke-56 berjaya menambah duka pasukan Kelantan menjadikan kedudukan 4-0.
Selang dua minit kemudian, pemain import Portugal, Telmo Castanheira mudah memasukkan bola ke gawang lawan selepas menerima hantaran daripada R.Dinesh.
Bukan sahaja Telmo, penyerang prolifik Sabah, Ramon Machado turut mencatatkan nama sebagai penjaring sekali gus menjadikan keputusan 6-0.
Sebelum tamat perlawanan, usaha S.Kumaahran untuk menjaringkan gol menemui titik noktah apabila menanduk bola masuk pada minit ke-88.
Keputusan kekal 7-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Irfan Fazail menjaringkan gol roket ketika Sabah menewaskan Kelantan pada Isnin.
Dalam media sosial, rata-rata penyokong tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan selepas satu lagi perlawanan Kelantan FC dibolosi dengan jaringan yang besar.
"Terbaik pemilik pasukan, terima kasih kerana bawa Kelantan FC sebaris dengan JDT IV," kata El Hadi Yunus.
"Tahniah lebih 100 gol dibolosi, satu rekod yang patut dibanggakan," sindir Abu Abdul Azim.
"Tahniah Kelantan, tercapai rekod baharu 100 bolos, mungkin rekod ini akan bertahan 20-30 tahun lagi," jelas Muhd Widad.
"Bagus pengurusan, Zamsaham, saya sangat bangga ada awak di Kelantan sebab buat satu pencapaian baru dalam Malaysia," ujar Salihan Zaki.
Kekalahan Kelantan dengan keputusan 0-7 di tangan Sabah itu menyaksikan The Red Warriors telah dibolosi sebanyak 102 gol dalam 23 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram