KETUA jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, sudah mengkaji kelebihan yang dimiliki pasukan Chinese Taipei menjelang aksi Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia Asia 2027 di Taipei City pada Selasa.
Munurut pengendali dari Korea Selatan itu, Chinese Taipei sebuah pasukan yang amat berdisiplin, memiliki kelebihan fizikal dan pemain naturalisasi yang amat berbahaya, lapor Stadium Astro.
Bagaimanapun, itu bukan satu alasan untuk Harimau Malaya terlepas tiga mata kedua selepas menundukkan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis lalu.
Dalam sidang media pra-perlawanan itu sebentar tadi pada Isnin, Pan-gon berkata: "Saya fikir kami sudah mendapat maklumat, di mana mereka memiliki pemain naturalisasi, ada pemain yang bermain di China selain ada pemain yang amat berpengalaman.
"Apa yang saya tahu, Chinese Taipei sentiasa mengagumkan saya, bukan hanya kali ini tetapi mereka sentiasa seperti itu.
"Pemain mereka amat berdisiplin, berusaha keras, amat kuat dan bagi saya, mereka juga memiliki fizikal yang amat baik dan atletik.
"Saya amat mengenali perwatakan pemain Chinese Taipei dan kami juga memiliki analisis terperinci terhadap setiap individu.
"Kami akan menggunakan kesemua maklumat itu dalam perlawanan esok (Selasa) dan harap-harap ia akan berkesan dan kami mendapatkan tiga mata," katanya.
Dalam pada itu, Pan-gon menegaskan jika skuad kebangsaan tidak menewaskan Chinese Taipei, Harimau Malaya tidak layak untuk berada dalam kelompok 18 pasukan terbaik Asia.
"Jika kita (Malaysia) tiada kekuatan untuk menewaskan Chinese Taipei, kita tidak layak untuk ke pusingan seterusnya.
"Rekod Chinese Taipei di halaman sendiri sangat kuat apatah lagi di bawah jurulatih baharu.
"Jadi jika kita tidak melepasi halangan ini, kami tidak layak berada dalam kelompok 18 pasukan terbaik dalam Asia," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram