Fans Selangor tolak bintang J League, pilih import TFC-Kedah ganti Ayron del Valle walau berat hati


  • Podium
  • Isnin, 20 Nov 2023

Junker pernah membolosi gawang gol JDT ketika membantu Urawa Reds menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 5-0 pada 19 Ogos 2022. — Agensi

KHABAR angin tentang perpindahan penyerang import, Selangor FC, Ayron del Valle bakal kembali ke negara kelahirannya semakin menjadi topik bualan seluruh penyokong bola sepak Selangor FC.

Manakan tidak, perkhabaran itu turut diperakui oleh wartawan media Colombia, Mariano Olsen apabila penjaring terbanyak Liga Super itu didakwa telah bersetuju untuk berhijrah ke kelab baharu iaitu kelab division satu Colombia, Atletico Bucaramanga pada musim depan.

“Menurut sumber yang rapat dengan kelab itu, Atletico Bucaramanga telah mencapai persetujuan dengan penjaring Colombia Ayron Del Valle, yang tiba secara percuma dari Selangor FC.

“’AyronMan’ akan menandatangani perjanjian selama dua musim dan akan diperkenalkan minggu depan,” memetik ciapan dari wartawan media Colombia, Luchotrabado pada platform X.

Meskipun tiada sebarang kenyataan rasmi dari pihak pengurusan Selangor FC namun pemergian Ayron sememangnya diratapi penyokong Gergasi Merah dengan dia antara pemain utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam membantu mereka mendapatkan 17 kemenangan daripada 23 perlawanan liga.

Kasper disebut-sebut sebagai pengganti Ayron musim depan. Agensi

Dalam media sosial, penyokong Gergasi Merah mula membentangkan idea untuk mencari pengganti Ayron jika benar dia tidak kekal beraksi di bawah kendalian Tan Cheng Hoe pada musim depan.

Antara pemain disebut-sebut untuk menggantikan Ayron ialah bintang Liga Jepun, Kasper Junker yang kini sedang beraksi bersama Nagoya Grampus secara pinjaman daripada Urawa Reds.

Namun idea tersebut ditolak oleh penyokong-penyokong Selangor lain apabila mereka lebih memilih untuk menandatangani pemain import dalam Liga Malaysia yang sudah terbukti kualitinya.

Tetapi penyokong Selangor juga berharap pihak pengurusan sedaya upaya untuk mengekalkan Ayron meskipun ia dilihat sukar kerana dakwaan mengatakan penyarang itu telah mencapai persetujuan dengan kelab baharu.

"Ambil Ivan Mamut, Manuel Hidalgo, Luciano Guaycochea, Romel Morales, Giancarlo Gallifuoco atau Safawi Rasid yang harga lebih murah dan terbukti mempunyai kualiti," kata Muhamad Faizal.

"Ayron perlu kekal, semua posisi penyerang boleh main, lagi satu dia dah tahu kelemahan penjaga gol yang ada dekat Malaysia," jelas Adam Helmi.

"Elakkan pemain dari Eropah, sebab mereka susah nak sesuaikan diri dengan Liga Malaysia," ujar Ahmad Fadzli.

"Kalau harap ketinggian tapi main macam kayu tak boleh juga, Ayron sekurang-kurangnya dah buktikan kehebatan dia," luah Zakaria Abdul.

Dalam 23 perlawanan Liga Super, Ayron sudah meledak 21 jaringan untuk Gergasi Merah dan namanya disebut-sebut bakal merangkul Anugerah Kasut Emat pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK 2023) nanti.

Ayron mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super, diikuti import Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri serta Bergson da Silva yang masing-masing mencetak 19 dan 17 jaringan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram