‘Kami underdog’, pengendali Chinese Taipei anggap HM lebih tertekan, Pan-gon rasa lawan tak nak layak


  • Podium
  • Isnin, 20 Nov 2023

Gary White memberi amaran kepada skuad kebangsaan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada Selasa. — Stadium Astro

JURULATIH Chinese Taipei, Gary White pantas mengisytiharkan pasukannya sebagai 'underdog' dalam pertemuan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada Selasa.

Katanya, Malaysia dengan dibarisi pemain berstatus naturalisasi dan warisan pasti akan lebih tertekan dalam mencari tiga mata penuh, lapor Stadium Astro.

"Anda (Malaysia) perlu waspada dengan underdog, ia mampu mengejutkan ramai orang.

"Fokus kami kepada apa yang kami lakukan dan saya pasti Malaysia juga fokus kepada kami. Kami sudah bersiap sedia untuk perlawanan ini dan akan berjuang bermati-matian.

Hong Kong

Sebelum ini Gary White menggantikan Kim Pan-gon semasa di Hong Kong pada 2018. Facebook/HK League

"Kami sedia maklum Malaysia mengambil ramai pemain dari luar (naturalisasi dan warisan).

"Kami tahu mereka cuba kuatkan pasukan mereka dan kami faham kenapa mereka berbuat demikian.

"Chinese Taipei pasti berasa yakin memandangkan pertemuan terakhir menentang Malaysia, The Blue Wings menang 2-0 dan ketika ini kebal di gelanggang sendri.

"Kami tidak peduli siapa pasukan yang datang.

"Dan kali terakhir pertemuan, kami menang dengan Malaysia, Maka kami tidak gentar.

"Kami akan pastikan Malaysia tidak akan berasa selesa dalam perlawanan malam esok (Selasa), kata White dalam sidang media pra perlawanan di Taipei pada Isnin.

KPG

Pan-gon merasakan Chinese Taipei tidak mahu layak ke pusingan seterusnya. Facebook/FAM

Dalam pada itu, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan impian pasukannya untuk berada dalam kelompok 18 pasukan terbaik Asia.

Kim Pan-gon berkata, sasaran Harimau Malaya mungkin tidak sama jika dibandingkan dengan sasaran pasukan lawan itu.

"Sasaran kami mungkin berbeza. Kami mahu mara ke pusingan 18, saya fikir mungkin Chinese Taipei tiada sasaran untuk ke pusingan tersebut. Kami mempunyai lebih keinginan untuk layak ke peringkat seterusnya" ujar Pan-gon.

Namun begitu, Pan-gon turut menyatakan pasukan Harimau Malaya perlu hormati dan merendah diri sebelum perlawanan esok (Selasa) kerana Chinese Taipei merupakan pasukan yang kuat di laman mereka sendiri, selain turut melihat kepada rekod perlawanan terdahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram