‘Teori 7’ jadi modal bersembang fans di sebalik ‘come back is real’ Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Faisal Halim yang memakai jersi nombor tujuh menjaringkan gol kemenangan buat skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

KEMERIAHAN kemenangan Malaysia menewaskan Republik Kyrgyz dengan keputusan 4-3 semestinya terus menjadi bualan penyokong bola sepak sepanjang kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ini.

Mana tidaknya, pungutan tiga mata yang dikutip oleh skuad kebangsaan itu sungguh dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan 1-3 pada separuh masa kedua.

Gerakan yang dimulakan Arif Aiman Hanapi pada masa tambahan disudahi dengan baik oleh Faisal Halim.

Selain Faisal Halim dan Arif Aiman, Dion Cools turut memainkan peranan penting dalam kemenangan 'comeback' Harimau Malaya selepas pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol menerusi tandukan sepakan penjuru.

Skuad kebangsaan selepas ini akan terbang ke Taiwan untuk menghadapi ujian kedua menentang Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei, Taiwan pada Selasa.

WhatsApp Image 2023-11-17 at 4.54.34 PM

Tangkap layar posting daripada penyokong berkenaan teori tujuh.

Dalam media sosial pula pelbagai komen dan ulasan yang menarik dibuat oleh penyokong-penyokong selepas skuad kebangsaan mencatatkan kemenangan itu.

Antara perbincangan menarik di antara penyokong ialah teori nombor tujuh selepas semua minit jaringan dan Faisal Halim jatuh pada angka tersebut.

"Dion Cools jaringkan gol pada minit ketujuh dan 77 permainan.

"Jaringan kemenangan Faisal Halim yang memakai jersi nombor tujuh.

"Gol keseluruhan dalam perlawanan ialah tujuh.

"Malaysia bakal mendaki ranking dengan peningkatan tujuh anak tangga," katanya.

Dengan teori tujuh ini, rata-rata penyokong bertambah teruja apatah lagi ranking negara akan meningkat sehingga kedudukan ke-130 (kiraan tidak rasmi).

Dalam Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia kini menduduki tangga kedua di belakang Oman dengan perbezaan jaringan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram