‘Kalau tak angkat kaki, dah lama Faisal Halim gantung but’


  • Podium
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Faisal pernah beraksi untuk Penang FA pada musim 2015/16.

MUHD Faisal Abdul Halim menjadi bualan seluruh rakyat Malaysia selepas dia menjaringkan gol kemenangan buat Harimau Malaya pada minit akhir permainan ketika menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Gerakan yang dimulakan oleh Arif Aiman Hanapi pada masa tambahan itu disudahi dengan cemerlang oleh Faisal Halim sekali gus memberikan tiga mata pertama dalam Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Selain daripada Faisal Halim dan Arif Aiman, Dion Cools turut memainkan peranan penting dalam kemenangan 'comeback' Harimau Malaya selepas pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol menerusi tandukan sepakan penjuru.

Skuad kebangsaan selepas ini akan terbang ke Taiwan untuk menghadapi ujian kedua menentang Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei, Taiwan pada Selasa.

Faisal Halim Selangor FC

Faisal (kanan) beraksi untuk Selangor FC musim ini.

Dalam kegembiraan rakyat Malaysia menyambut jaringan kemenangan Faisal Halim, laman Facebook Penang Brotherhood merasakan pemergian pemain berusia 25 tahun itu dari Penang FC adalah petanda positif.

"Dulu penyokong Penang antara yang marah bila dia 'angkat kaki', bukanlah marah sebab benci tapi kecewa persatuan ketika itu tak dapat kekalkan dia.

"Memang penyokong Penang nampak dia boleh pergi jauh, tapi bayangkan jika dia masih setia dekat Penang?

"Pasti dah lama dia gantung but," katanya dalam Facebook.

Penang Brotherhood turut menyeru agar Penang FC juga memfokuskan sistem akar umbi yang dilihat mampu menghasilkan ramai bakat-bakat muda.

"Berapa ramai dah yang dikorbankan dan berapa ramai lagi 'budak kita' yang kita pupuk bakal terbuang?

"Kelab tolong-tolong sama tengok akar umbi, bukan lepas dapat lesen diam menyepi. Janganlah kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan," jelasnya.

Untuk rekod, Faisal Halim bermula dari skuad muda Penang FC dan diserap ke dalam pasukan utama sebelum memilih untuk berhijrah bersama Sri Pahang FC, Terengganu FC serta Selangor FC.

Musim ini, pemain sayap kebangsaan itu menjaringkan 11 gol dan lapan assist buat Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram