SATU tragedi kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan sebuah kereta dan lori muatan sampah yang rentung di kawasan Perindustrian Bercham dekat Ipoh, Perak pada Isnin.
Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh menerima laporan kejadian sekitar pukul 8.05 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, maklumat awal mendapati, kereta jenis Proton Perdana dinaiki ketiga-tiga mangsa terbakar sebaik merempuh bahagian hadapan lori tersebut.
Jelasnya, bahagian hadapan lori berkenaan musnah terbakar akibat rempuhan berkenaan.
"Bantuan kren digunakan bagi mengalihkan lori itu dan setelah dialihkan, terdapat tiga mangsa telah rentung berada dalam kereta.
"Identiti kesemua mangsa masih belum dapat dikenal pasti setakat ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan sehingga api dipadam sepenuhnya dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dan Pasukan Bomba Sukarela Bercham.
"Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.35 malam," katanya.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, tiga bersaudara yang rentung dalam kemalangan jalan raya di Kawasan Perindustrian Bercham dekat sini baru selesai menghantar juadah Deepavali ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan di sini petang Isnin.
Insiden yang berlaku kira-kira 8 malam itu mengorbankan M. Krishna, 20, yang memandu kereta jenis Proton Perdana, adik lelakinya, M. Pavilesh, 16, dan sepupu mereka N. K. Subash Varman, 16.
Bapa mangsa, M. Manimaran, 50, berkata, kedua-dua anaknya, Krishna dan Pavilesh keluar dari rumah mereka di Taman Cempaka kira-kira 4 petang.
Beliau berkata, mereka berdua mengambil sepupunya, Subash Varman yang tinggal di Bercham kerana mahu menghantar beberapa jenis lauk yang dimasak oleh isterinya sempena Deepavali ke rumah nenek mereka.
"Saya dapat bercakap dengan anak saya (telefon) pada pukul 6 petang dan memberitahu mereka mahu ke rumah kawannya terlebih dahulu sebelum pulang.
"Saya cuba menghubungi mereka sekali lagi kira-kira 7 malam namun panggilan tidak berjawab.
"Saya cuba cari rumah kawan dia tapi tidak jumpa dan saya buat keputusan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Taman Cempaka pada 10 malam tadi (Isnin) kerana tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Selasa.
Manimaran berkata, kira-kira 15 minit selepas laporan polis dibuat, pegawai polis datang ke rumahnya dan memaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa kesemua mangsa berkenaan.
Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bekerja di sebuah kedai aksesori manakala anak kedua pula masih bersekolah Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan.
"Anak-anak saya sangat manja dengan nenek mereka dan sering ke rumah nenek pada hujung minggu atau cuti umum," katanya dan menambah mereka sekeluarga tidak menyambut Deepavali tahun ini kerana kematian abangnya pada April lepas.
Sementara itu, bapa kepada Subash Varman, L. Nantha Kumar, 41, berkata, kematian anak sulung daripada dua beradik itu amat mengejutkan mereka sekeluarga.
Beliau berkata, Subash Varman merupakan seorang anak yang baik dan sering membantu mereka.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah Tanjung Rambutan hilang kawalan lalu bertembung dengan lori sampah dari arah bertentangan, ketika melalui jalan selekoh.
Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut tersepit di bawah lori sampah lalu terbakar dan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu lori sampah dan empat orang kelindan pula tidak mengalami kecederaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram