
AKSI separuh akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC Jumaat lalu menyaksikan skuad Sang Penyu mara ke pentas final setelah merekodkan agregat 4-2
Kejayaan tersebut diraih menerusi kecemerlangan pemain kelab Pantai Timur berkenaan yang mengerah keringat sepanjang 90 minit permainan.
Tumpuan pastinya diberikan kepada penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang hadir menjaringkan dua gol dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu.
Selain itu, perhatian juga diraih pemain naturalisasi Terengganu FC, Liridon Krasniqi yang mempamerkan aksi mencuit hati pada penghujung permainan apabila sengaja melewatkan permainan sehingga dilayangkan kad kuning.
Namun, perlawanan separuh akhir itu juga menyaksikan bek kiri Sang Penyu, Alif Zakaria mengalami kecederaan memasuki minit ke-77 permainan.
Kecederaan Alif memaksanya dikeluarkan ketika skuad Sang Penyu berdepan KL City FC.
Perkara tersebut disedari peminat kedua-dua pasukan berdasarkan rakaman memaparkan pemain berusia 25 tahun tersebut terbaring dan memegang lututnya.
Dia kemudiannya terpaksa dikeluarkan pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner yang tidak mahu kecederaan dialaminya menjadi semakin teruk.
Sehingga kini, status mengenai Alif masih belum diketahui dengan pihak pengurusan kelab masih belum mengeluarkan sebarang perkhabaran lanjut.
Persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila sebuah laman penyokong Sang Penyu, Terengganu 11 memuat naik sekeping gambar memaparkannya di sebuah wad.
Meskipun tidak diketahui statusnya secara lanjut, pemain terbabit dilihat tidak diberikan rawatan lanjut dengan ia memberi perkhabaran bahawa kecederaannya tidak begitu teruk.
Alif berada di wad akibat kecederaan dialaminya dalam aksi separuh akhir Jumaat lalu. — Facebook/Terengganu 11
Tetapi, ia tidak menghalang orang ramai, terutamanya penyokong Terengganu FC daripada terus mengutuskan doa bagi mengharapkan kesembuhannya.
"Semoga cepat sembuh, harap-harap dapatlah sembut untuk perlawanan final nanti. Insya-ALLAH dia boleh kawal dan tahu pergerakan Arif Aiman (Hanapi)," ujar Adi Adi.
"Semoga dipermudahkan dan cepat sembuh hendaknya," ujar Roniey Syahrul.
"Harapnya diberikan kesembuhan segera dan segala urusan diri dan sekeluarga dipermudahkan," komen Anuar Ibrahim.
Selepas ini, Terengganu FC bakal berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna untuk aksi keempat Kumpulan G Piala AFC pada 8 November sebelum berdepan Sabah FC dalam pertembungan Liga Super pada 24 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram