Dilarang mentaliti santai, Ultrasel laung amaran buat pemain Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Ultras Selangor antara penyokong kuat pasukan Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

"DILARANG mentaliti santai."

Itulah peringatan yang dilontarkan Ultras Selangor atau lebih dikenali sebagai Ultrasel selepas anak-anak buah Gergasi Merah berehat panjang hampir dua bulan sebelum menentang Perak pada 25 November nanti.

Kali terakhir Selangor FC bermain ketika anak-anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 29 September lalu.

Menerusi posting media sosial Ultrasel, selaku pemain ke-12 pasukan mereka berharap agar anak-anak buah Cheng Hoe tidak mengambil mudah dengan tiga baki perlawanan Liga Super yang akan menjadi penentu Gergasi Merah ke Asia tahun depan.

"Hampir dua bulan berehat pada saingan liga, semua disebabkan keputusan pemindaan tarikh perlawanan yang sepatutnya dimainkan pada 28 Oktober 2023 kepada tarikh yang lebih awal tanpa sebarang sebab musabab yang relevan.

"Tambahan pula dengan cuti perlawanan antarabangsa.

"Diingatkan saingan Liga Super 2023 cuma berbaki tiga perlawanan. Tiga perlawanan penting yang akan menentukan perjalanan pasukan musim hadapan," katanya.

Peringatan

Peringatan Ultrasel buat penyokong Selangor.

Musim ini, Selangor berada di landasan terbaik untuk ke Asia selepas menduduki tempat kedua dalam Liga Super di belakang Johor Darul Takzim (JDT) yang sudah ditabalkan sebagai juara.

Selain Perak, Gergasi Merah akan bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman FC pada 2 Disember sebelum kembali ke halaman sendiri untuk menentang PDRM FC dua minggu selepas itu.

Jika Selangor gagal mara ke pentas Asia musim depan, ia sekali gus memberi tamparan hebat buat penyokong yang sering melaungkan slogan 'Misi ke Asia' sejak beberapa musim kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram