PENANG FC sekali lagi mencatatkan keputusan mengecewakan apabila tewas kepada PDRM FC dalam aksi timbal balik MFL Challenge Cup di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Dua gol daripada Uche Agba pada minit ke-60 dan ke-82 menyaksikan skuad Harimau Kumbang tersingkir daripada pertandingan itu dengan agregat 4-1.
Kekalahan berkenaan pastinya merobek luka dalam kalangan ratusan penyokong pasukan Utara tanah air itu yang sanggup hadir demi menyaksikan aksi tersebut.
Selain dihidangkan dengan kekalahan mengecewakan, mereka turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila anak-anak buah Chong Yee Fatt gagal mempamerkan aksi lebih baik.
Perasaan tersebut diluahkan di media sosial dengan peminat bola sepak tanah air, Irwan Wan berasakan percaturan pasukan berkenaan kurang meyakinkan.
Dua gol daripada Uche Agba (kanan) memastikan kemaraan berpihak kepada skuad Sang Saka Biru. — Facebook/PDRM FC
"Tak bahaya langsung gaya permainan Penang FC, lawan pun tak gentar dengan serangan sambil lewa. Langsung tidak ada taktik sehingga mudah dibaca PDRM FC," katanya.
Luahan tersebut turut disokong Al-bara Bala yang melihat gandingan pihak kejurulatihan tidak sesuai sehingga menyebabkan mereka gagal menempah slot ke pentas akhir.
"Aku sebenarnya pun dah tak tahu mana satu ketua jurulatih, yang mana satu pembantu. Tetapi, kedua-dua mereka punya taktikal memang sudah tak serasi lagi," katanya.
Bagi Afiq Ramzi pula, kecenderungan skuad Harimau Kumbang untuk menggunakan taktikal menghantar bola jauh menjadi punca atas penyingkiran itu.
"Lambung bola, hambat. Lambung bola, hambat. Lambung bola sampai diri melambung dan akhirnya sendiri merangkak di tempat lawan," tulisnya.
Skuad Sang Saka Biru bakal berdepan Kuching City FC dalam aksi final MFL Challenge Cup secara timbal balik dengan tarikh perlawanan masih belum ditetapkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram