AKHIRNYA berlalu sudah episod duka buat kesemua pasukan Liga Malaysia yang memenuhi jadual Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk beraksi dalam pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.
Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC gagal merekodkan persembahan yang baik dan hanya anak-anak buah Tomislav Steinbruckner berjaya mencuri satu mata ketika Terengganu FC menentang Stallion Laguna FC.
Skuad Harimau Selatan pula tewas di tangan Ulsan Hyundai 1-3 manakala Sabah dibaham oleh Hai Phong dengan keputusan 2-3 yang mana kedua-dua perlawanan itu beraksi di tempat lawan.
Namun beberapa import pasukan lawan masing-masing berjaya mencuri tumpuan penyokong Liga Malaysia (Liga M) apabila mereka mengharapkan pemain tersebut beraksi dalam Liga M musim depan.
Majoriti senaraikan tiga pemain import pasukan lawan yang berjaya mencuri perhatian penyokong-penyokong Liga M:
Gustav tidak pernah beraksi di Asia sebelum ini. — Agensi
1. Gustav Ludwigson (Ulsan Hyundai)
Jika anda menyaksikan perlawanan di antara JDT dan Ulsan Hyundai pastinya akan tertarik dengan kelincahan Gustav Ludwigson yang beraksi sebagai pemain tengah pasukan Korea Selatan itu.
Pemain Sweden itu juga mencetak nama selaku penjaring apabila membolosi dua gol gawang JDT pada perlawanan tersebut.
Tidak pernah beraksi di Asia, tahun ini merupakan debut pertama pemain kelahiran Sweden itu bermain dalam Liga Korea Selatan bersama Ulsan Hyundai.
Mpande sudah lama beraksi bersama Hai Phong FC. — Agensi
2. Joseph Mpande (Hai Phong FC)
Joseph Mpande merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Nasional Myanmar pada 2017/18 sebelum berhijrah ke Vietnam.
Bekas pemain kebangsaan Uganda itu sudah lama beraksi bersama Hai Phong FC dan musim ini antara pemain yang banyak menjaringkan gol untuk pasukannya.
Mempunyai pengalaman beraksi di benua Afrika pastinya memberi kelebihan buat Mpande menggunakan fizikalnya untuk menembusi benteng pertahanan Sabah.
Tahun ini merupakan pengalaman pertama Mpande beraksi dalam Piala AFC, tetapi sebelum itu sudah pun didedahkan dengan bermain di peringkat 'play-off' Liga Juara-Juara Asia (ACL).
3. Juan Trujillo (Stallion Laguna)
Penyerang yang perlu diberikan perhatian oleh kelab-kelab Liga M adalah pemain dari Mexico iaitu Juan Trujillo.
Trujillo merupakan penyerang paling tajam buat Stallion musim ini apabila di peringkat Asia, dia telah menghasilkan satu jaringan gol.
Selain daripada itu, Trujillo merupakan pemain yang berbahaya dalam mencipta peluang, hasil daripada umpanannya, Stallion berjaya menghasilkan dua gol menerusi Junior Ngong Sam dan Griffin McDaniel.
Selain daripada Mendoza, Trujillo merupakan penyerang yang perlu diawasi dan sekiranya dua pemain ini digandingkan maka pertahanan Terengganu tidak boleh leka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram