[VIDEO] Pamer aksi hambar semasa latihan, pasukan pemain warisan kena ‘basuh’ dengan jurulatih


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Melbourne Victory kini berada di tempat kedua dalam Liga Australia musim ini.

TULAR sebuah video klip pendek dalam Instagram seorang jurulatih di Liga Australia memarahi anak-anak buahnya kerana memberikan sikap yang tidak baik semasa menjalani latihan.

Jurulatih tersebut ialah Tony Popovic yang melatih pasukan Melbourne Victory sejak 2021.

Dalam klip video tersebut, Popovic amat menekankan sikap pemain-pemain yang tidak mahu melakukan latihan dengan penuh serius sekali gus akan memberikan kesan terhadap prestasi pasukan.

"Saya tak boleh terima apabila ada pemain yang mengambil sikap sambil lewa apabila pasukan sedang melakukan sesi latihan.

"Kerana ia akan memberi kesan kepada prestasi pasukan.

"Anda boleh berlatih dengan teruk, saya terima. Sebab saya dan jurulatih lain akan membantu anda untuk menjadi lebih baik.

"Saya boleh terima sepanjang tahun jika anda berlatih dengan sangat teruk. Saya akan buat segala-galanya luar dan dalam padang untuk membantu anda," katanya dalam video itu.

Menarik perhatian dalam video itu adalah kelibat pemain kacukan Nishan Velupillay yang dikatakan memiliki hubungan dengan Malaysia.

Sebelum ini, Velupillay yang beraksi di Liga Australia bersama Melbourne Victory hangat dikaitkan sebagai calon baharu penyerang skuad Harimau Malaya di laman sosial ketika ini.

Menerusi media sosial, pemain Bawah-23 tahun Australia itu didakwa memiliki pertalian darah dengan Malaysia di sebelah ibu bapanya, yang membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Boleh beraksi di posisi sayap kanan dan kiri, pemain berusia 22 tahun itu telah meledak enam gol serta tiga bantuan jaringan bersama Melbourne Victory FC sejak dinaikkan pangkat pada 2021.

Bersama skuad B-23 Australia, Velupillay menjaringkan dua gol dalam enam penampilan terakhirnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram