KEKALAHAN pasukan kebangsaan ketika berdepan Tajikistan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka sememangnya dijangka akan memberi kesan terhadap kedudukan mereka dalam ranking FIFA.
Situasi itu diburukkan lagi dengan beberapa negara yang berada hampir dengan Harimau Malaya dalam carta mencatatkan kemenangan ketika perlawanan antarabangsa lalu.
Nasib pasukan negara akhirnya terjawab apabila pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan skuad kendalian Kim Pan-gon jatuh sebanyak tiga anak tangga ke kedudukan ke-137.
Ia semestinya memberi tamparan terhadap imej dan reputasi skuad kebangsaan yang mahu menambah baik kedudukan dalam ranking FIFA sebelum permulaan aksi Piala Asia 2023 di Qatar.
Meskipun Harimau Malaya masih berpeluang menambah baik kedudukan mereka dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, lawan yang sukar dikhuatiri hanya akan menyukarkan hasrat berkenaan.

Pasukan negara jatuh tiga anak tangga ke kedudukan ke-137 dalam ranking FIFA ketika ini. — Facebook/FAM
Penurunan tersebut juga semestinya mengundang kritikan daripada beberapa pihak yang semestinya mengharapkan pasukan negara mampu berada dalam kelompok 120 pasukan terbaik dunia.
Tetapi, hal sebaliknya dapat disaksikan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila masing-masing tidak mahu memberi tekanan terhadap Pan-gon serta anak-anak buahnya.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti di ruangan komen FAM, ramai daripada mereka memesan agar pasukan negara kembali bangkit untuk menambah baik kedudukan mereka.
"Banyak beza gaya permainan negara hari ini, banyak penambahbaikan sudah. Ketika berdepan Tajikistan sebelum ini pun, mereka lebih banyak bertahan.
"Mungkin nasib tidak menyebelahi ketika pada malam tersebut dengan penyudah kurang kemas. Tetapi, dapat kalahkan India dalam peringkat separuh akhir juga sudah cukup baik," kata Sharil Motorhead.

Kekalahan kepada Tajikistan pastinya menjadi tamparan terhadap anak-anak buah Pan-gon. — Facebook/FAM
"Alhamdulillah, semoga kita semua sentiasa berlapang dada. Harimau Malaya sudah berusaha untuk mengubah kedudukan dengan pelbagai perkara telah dilakukan sebaik mungkin," kata Ishak Mohammad.
"Semoga kedudukan negara terus bertambah baik pada masa akan datang. Biasalah turun naik dalam bola sepak, tetapi sokong tetap sokong," ujar Ropi Siam.
Kekalahan kepada Tajikistan merupakan kekalahan kedua pasukan negara tahun ini selepas kali terakhir tewas adalah ketika berdepan Thailand dalam pertembungan separuh akhir kedua Piala AFF Januari lalu.
Selepas ini, pasukan negara akan berdepan Krygyzstan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan venue perlawanan masih belum diputuskan.
Mereka kemudiannya akan berkunjung ke Chinese Taipei pada 21 November dengan ia merupakan aksi kompetetif mereka sebelum aksi Piala Asia Qatar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
