Gugur mata kali pertama, ketiadaan Rizal Ghazali bangkit rindu tak bertepi fans The Rhinos di Vietnam


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Rizal hanya diletakkan di bangku simpanan ketika skuad Sang Badak tumpas di tempat lawan ketika berdepan Hai Phong FC. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC mencicirkan mata buat kali pertama dalam saingan Piala AFC musim ini apabila tewas 2-3 kepada kelab Vietnam, Hai Phong FC di tempat lawan pada Rabu.

Kegagalan benteng pertahanan untuk menampan hantaran lintang Huu Son Nguyen pada minit ke-14 jelas mengundang padah apabila ia meletakkan lawan mereka di hadapan.

Gawang skuad Sang Badak sekali lagi dibolosi empat minit berselang apabila rembatan luar kotak daripada Tien Dung Dam gagal ditepis keluar penjaga gol pasukan pelawat, Damien Lim.

Kedudukan kekal sehingga penamat babak pertama meskipun beberapa percubaan direncanakan Sabah FC dalam misi mereka merapatkan jurang.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado menanduk masuk hantaran lintang Darren Lok pada minit ke-71.

395665044_632031109094538_4018087523329419282_n

Hai Phong FC meraih kemenangan kedua selepas menundukkan Sabah FC di laman sendiri. Facebook/AFC

Kegembiraan bagaimanapun tidak berpanjangan setelah kealpaan benteng pertahanan Sang Badak sekali lagi dihukum Dung Dam menerusi percubaan deras di dalam kotak penalti.

Meskipun Sabah FC cuba mendapatkan gol penyamaan menerusi rembatan Gary Steven Robbat, kedudukan 2-3 kekal yang mana menyaksikan pasukan Liga Super itu tewas buat pertama kali dalam saingan Piala AFC 2023.

Pelbagai komen pastinya diberikan atas kekalahan itu dengan beberapa penyokong skuad Sang Badak berasakan ketiadaan bek kanan, Rizal Ghazali dalam aksi di Stadium Lach Tray, Vietnam menyukarkan usaha pasukan.

"Kurangnya gerakan serangan daripada pertahanan sisi kiri dan kanan. Diharapkan Rizal dimasukkan untuk menambah serangan dan gerakan tadi," kata VEshirt Visi.

"Mungkin boleh dimasukkan Rizal dan Rawilson (Batuil) tadi, mungkin akan menjadi lebih baik. Boleh ganggu gerakan serangan kelab Vietnam tu," kata Pheyoll Chai.

395624434_718265527006808_3776437214654015781_n

Kwang-min diberikan kepercayaan untuk beraksi sebagai bek kanan. Facebook/Sabah FC

"Saddil (Ramdani) lebih bagus sekiranya digandingkan bersama Rizal, baru naikkan lagi rentak permainan Sabah FC," ujar Ijaz Ahmad.

Dalam perlawanan itu, posisi bek kanan Sabah FC diisi import Korea Selatan, Ko Kwang-min yang beraksi cukup baik dari segi pertahanan, namun kurang memberi impak dari segi serangan.

Meskipun tidak berdepan sebarang penggantungan mahupun isu kecergasan, Rizal tidak diberikan minit permainan dengan ia dilihat lebih berpunca daripada pendekatan taktikal pasukan.

Sabah FC kini berada di tangga kedua Kumpulan H Piala AFC 2023 dengan keputusan daripada perlawanan antara Hougang United FC dan PSM Makassar akan mengubah kedudukan berkenaan.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee akan kembali beraksi di pentas Asia pada 9 November menentang Hai Phong FC di Stadium Likas, Sabah, iaitu kira-kira enam hari selepas aksi Liga Super menentang Kelantan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram