
SABAH FC yang akan menentang kelab dari Vietnam, Haiphong dalam pertembungan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Lach Tray, Haiphong perlu berhati-hati dengan kehebatan pasukan itu untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Haiphong memulakan kempen Piala AFC musim ini dengan kemenangan 3-0 di tempat sendiri ke atas PSM Makassar dari Indonesia tetapi mengalami kekalahan 1-2 di tempat lawan kepada Hougang United dari Singapura pada perlawanan kedua pada 10 Oktober.
Pasukan itu kini berada di tangga kedua Kumpulan H dengan tiga mata. Sabah berada di tangga teratas dengan enam mata selepas dua kemenangan berturut-turut tetapi jurulatih Datuk Ong Kim Swee telah memberi amaran kepada Rhinos.
Dengan hanya berbaki empat perlawanan di peringkat kumpulan, Kim Swee berasakan peluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam kumpulan itu masih terbuka luas.
Kim Swee enggan berasa selesa walaupun kini berstatus sebagai pendahulu Kumpulan H. — Facebook/SabahFC
“Kami sudah bersedia, terdapat sedikit jurang antara perlawanan terakhir kami menentang Makassar, dan ada masa untuk kami pulih. Kami tahu bukan mudah untuk menang di Haiphong walaupun mereka kalah dalam perlawanan terakhir.
"Sukar untuk menyatakan kekuatan mereka dan kami tahu kami bermain di tempat lawan. Bukan sahaja kami menyelidik Haiphong, saya percaya mereka juga akan menyelidik kami. Perkara yang paling penting ialah kekal fokus dan bermain mengikut rancangan kami. Mudah-mudahan, kita boleh dapat keputusan positif esok (Rabu).
"Haiphong adalah pasukan pilihan tetapi mereka tewas kepada Hougang, bukan mudah untuk bermain di padang tiruan dan itulah yang berlaku kepada mereka. Kami tidak boleh fokus pada satu pasukan. Makassar, Hougang dan Haiphong semuanya masih mempunyai peluang, kami perlu ambil satu perlawanan pada satu masa, kami perlu fokus dan positif," katanya ketika sidang media praperlawanan.
Jurulatih Haiphong, Chu Dinh Nghiem mendedahkan bahawa dia akan kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan dan mereka perlu memenangi perlawanan itu untuk kekal dalam saingan untuk layak ke pusingan kedua.
Untuk rekod, pemenang tiga kumpulan zon Asean dan naib juara terbaik Zon Asean mara ke separuh akhir Zon.
"Kami mengalami sedikit kecederaan dalam pasukan dan beberapa pemain tidak dapat bermain untuk perlawanan ini. Kami mesti memenangi perlawanan ini untuk mengekalkan peluang kami ke pusingan kedua," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram