Lesap awal permainan tapi Mamut hadir jadi hero buat Sang Penyu di Cheras


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Jaringan Ivan Mamut membantu skuad Sang Penyu menumpaskan KL City FC di tempat lawan. — Bernama

TERENGGANU FC memastikan bekalan cukup selesa diperolehi mereka untuk aksi timbal balik Piala Malaysia setelah menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 di tempat lawan.

Jaringan Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy pada penghujung kedua-dua babak menyaksikan skuad Sang Penyu membawa pulang kemenangan berharga di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Meskipun tuan rumah cuba merapatkan jurang menerusi penalti Tchetche Kipre, ia tidak menutup kegembiraan yang diraikan Terengganu FC.

Ini kerana kemenangan berkenaan sudah meletakkan sebelah kaki pasukan Pantai Timur itu untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

Namun, perbincangan hangat dalam kalangan penyokong skuad Sang Penyu disaksikan di media sosial apabila majoriti daripada mereka giat membincangkan mengenai sumbangan Mamut.

WhatsApp Image 2023-10-21 at 22.31.08

Perlawanan cukup sengit dipamerkan kedua-dua pasukan di Stadium Cheras, KL.

Walaupun menjaringkan pada masa tambahan separuh masa pertama, penyerang kelahiran Croatia berkenaan dilihat kurang memberi impak pada awal permainan.

Selain beberapa kali mensia-siakan peluang, pemain tinggi lampai itu juga dikatakan kurang mengambil bahagian dalam membantu rakan sepasukannya.

Namun, isu tersebut lantas dipadamkan apabila dia mudah menyumbat bola muntah selepas tandukannya lebih awal diselamatkan penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza.

"Hilang selama 45 minit. Alhamdulillah, pada minit ke-46, dia baru hadir," kata Cheek Awie.

"Mamut ni ketika dia tiada, rasa tidak lengkap pasukan. Tetapi, ketika bermain, rasa macam tidak ada pula, Nasib baik skor hujung-hujung permainan," ujar Sharil Rgg.

"Kalau tiada, rasa macam patutnya ada. Kalau ada, rasa macam tiada pula. Alhamdulillah dapat juga dia gol malam ni (Sabtu)," kata Iziludin Endut.

Kemenangan itu bagaimanapun masih belum cukup buat Terengganu FC yang perlu bermain dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 3 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram