'Kasihan mereka yang sering turun stadium', keluhan fans iringi kekalahan Penang di laman sendiri


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Desakan terus dibuat penyokong Penang FC yang mahu perubahan dilakukan dengan segera. — Facebook/Penang FC

KEKALAHAN sekali lagi dialami Penang FC apabila mereka ditundukkan PDRM FC 1-2 dalam aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Skuad Sang Saka Biru memulakan aksi di tempat lawan dengan cukup baik sehingga membolehkan mereka mendapatkan gol pendahuluan menerusi Amir Saiful pada minit ke-19.

Kedudukan kekal sehingga penghujung babak pertama meskipun terdapat beberapa percubaan berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan.

Pada minit ke-61, skuad Harimau Kumbang berjaya menarik nafas lega apabila perancang pasukan, Adriano Narcizo mengikat kedudukan menerusi satu rembatan kencang.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak berkekalan apabila PDRM FC sekali lagi menggegarkan gawang tuan rumah menerusi gol cantik daripada Fakhrul Azim.

394524864_867523708221618_576998130058382870_n

Penang FC gagal membawa sebarang bekalan untuk aksi timbal balik MFL Challenge Cup. Facebook/Penang FC

Asakan demi asakan yang dibuat skuad Harimau Kumbang selepas itu tidak membuahkan hasil dengan kedudukan 2-1 berpihak kepada pihak lawan kekal sehingga penghujung perlawanan.

Kekalahan itu sudah tentu sukar diterima penyokong kelab Utara tanah air berkenaan dengan pasukan kendalian Chong Yee Fatt terbabit berada dalam prestasi cukup mengecewakan ketika ini.

Dalam saingan Liga Super, Penang FC berada di tangga ke-10 dengan hanya 19 mata berjaya dikutip selepas 22 perlawanan diharungi setakat ini.

Jadi, kegagalan untuk membawa bekalan dalam MFL Challenge Cup sudah tentu sukar diterima dengan rata-rata penyokong mendesak agar perubahan dapat direncanakan.

"Pihak pengurusan Penang FC tolonglah ambil tindakan, apa dah jadi sebenarnya? Taktikal tidak jelas, adakah anda menunggu untuk kita turun liga?

385305652_855287739445215_2067957399037090705_n

Skuad Harimau Kumbang kini berada dalam prestasi yang cukup mengecewakan. Facebook/Penang FC

"Lantiklah seorang jurulatih dan pengarah pasukan yang baharu dengan segera kerana mereka yang ada ketika ini sudah tidak lagi relevan," kata Azmin Azmin.

"Macam tulah sampai hari ini, tidak ada sebarang perubahan. Tiket jual mahal, tetapi permainan masih lagi mengecewakan," kata Mohd Azrol Rosli.

"Kasihanilah mereka yang sering turun ke stadium, tetapi main sambil lewa. Jujur di sini saya mahu katakan pemain Penang FC kurang elok permainannya," komen Izwan Zawahir.

Aksi timbal balik MFL Challenge Cup antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada 5 November dengan kelebihan kini dimiliki skuad Sang Saka Biru. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram