'Baik Tomi daripada Nafuzi', ekor Sang Penyu lega peningkatan minit akhir TFC


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tomislav Steinbruckner kini mula berjaya menambat hati penyokong Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

SEWAKTU perginya Nafuzi Zain ke Kedah Darul Aman (KDA) FC, penyokong Terengganu FC (TFC) berasa kecewa. Mana tidaknya, mereka kehilangan seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam negara.

Nafuzi pergi dengan rekod yang amat baik. Dia berjaya memastikan TFC menamatkan saingan Liga Malaysia 2022 dengan menduduki tangga kedua Liga Super, memasuki pusingan akhir Piala FA serta mara hingga separuh akhir Piala Malaysia selain layak ke saingan Piala AFC.

Penggantinya adalah jurulatih dari Croatia iaitu Tomislav Steinbruckner. Pada mulanya, penyokong TFC tidak begitu gemarkan apa yang dilakukan oleh Tomi terhadap pasukan.

Tidak bermain dengan baik dan tersangkut dalam pertarungan melibatkan pasukan di pertengahan liga, ada suara yang mahu Tomi disingkirkan sambil rindu terhadap Nafuzi mula membara.

Akan tetapi, sedikit demi sedikit situasi sukar itu mula menemui jalan keluar oleh Tomi dan TFC. Sang Penyu kini bermain dengan lebih baik dan mereka berpeluang untuk menamatkan musim dengan kejuaraan.

385481477_304780785596696_4630068509630805995_n

Suhaimi Husin antara pemain yang cemerlang dibawah kendalian Tomi. — Facebook/Terengganu FC

Mungkin kedudukan dalam Liga Super tidak boleh dibaiki dengan cuba menghambat Selangor dan KDA yang sedang mendapatkan kedudukan naib juara, tetapi Tomi masih boleh membawa TFC ke perlawanan akhir Piala Malaysia jika mampu menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC di separuh akhir.

Sebelum ini, TFC dikecewakan KL City di separuh akhir Piala FA dan mereka kini boleh membalas dendam terhadap skuad Warga Kota dalam saingan Piala Malaysia.

Melihat kepada peluang ini, ada penyokong berasakan Tomi berjaya mengubah nasib TFC musim ini dan ia membuatkan rindu mereka terhadap Nafuzi mula berkurang.

"Nafuzi Zain di awal musim bersama KDA nampak gah tapi di akhir-akhirnya nampak kurang semangat. Sementara Tomi di akhir musim nampak gagah dan pencapaian yang boleh dibanggakan antaranya separuh akhir Piala FA, separuh akhir Piala Malaysia dan Insya-ALLAH akan ke perlawanan akhir. Dalam liga pun tidak mengecewakan sangat. Terima kasih Tomi," kata penyokong bernama Yassin Sani.

Apa yang dikatakan Yassin itu turut menerima respons sama oleh penyokong TFC yang lain.

"Baik Tomi musim ni. Musim pertama dua kali boleh ke separuh akhir. Nafuzi musim pertama dua kali balik awal," ujar Hazlami Mamat.

"Nafuzi Zain di KDA untuk Piala Malaysia, Piala FA dan Challenge Cup, semua balik awal. Tapi untuk Liga Super masih lagi pencabar kedudukan kedua liga," komen Syahrom Khairuddin pula.

Penyokong TFC mungkin sudah boleh melupakan Nafuzi kerana Tomi dilihat cukup baik untuk mengemudi TFC. Namun begitu, dia masih perlu melakukan beberapa perubahan dalam skuad Penyu untuk tampil lebih kompetitif terutamanya pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram