Lakar hatrik bertemu Pahang 'hint' jelas masa depan Ebenezer bersama Kedah


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Hatrik tersebut sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Assifuah di tangga teratas penjaring terbanyak Piala MFL. — Facebook/KDA FC B

KEDAH Darul Aman (KDA) FC B sekali lagi mengalami kekalahan dalam saingan Piala MFL ketika menerima kunjungan Sri Pahang FC di laman sendiri pada Isnin.

Meskipun membuka jaringan menerusi Ebenezer Assifuah pada minit ke-12 permainan, kerapuhan benteng pertahanan menyebabkan skuad muda Sang Kenari rebah untuk kali keempat setakat lima perlawanan.

Kekalahan itu turut menyaksikan pasukan Utara tanah air berkenaan kekal di dasar carta Piala MFL dengan hanya satu mata dikutip.

Prestasi berkenaan sudah tentu menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Hijau Kuning apabila pasukan itu beraksi cukup mantap dalam peringkat pertama.

Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan tersebut, pengikut setia KDA FC masih boleh tersenyum memandangkan aksi di Stadium Darul Aman, Kedah itu menyaksikan Assifuah melakar hatrik.

387813458_360444486336735_8112237160508863180_n

Nafuzi sudah tentu memberi perhatian terhadap prestasi menakjubkan Assifuah. Facebook/KDA FC

Selepas mengegarkan gawang skuad Tok Gajah pada separuh masa pertama, penyerang kelahiran Ghana itu meledak sebanyak dua kali lagi pada babak kedua, iaitu pada minit ke-66 dan 85.

Walaupun sumbangannya itu tidak memberikan impak mencukupi buat KDA FC B, ia sedikit sebanyak membuktikan kualitinya yang seperti bersedia untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

Pandangan tersebut turut dikongsikan rata-rata penyokong Sang Kenari yang berharap agar pemenang Kasut Emas Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-23) 2013 itu segera diserap ke dalam skuad senior.

"Musim depan boleh bawa Assifuah untuk masuk dan gantikan Ifedayo (Olusegun), biarkan dia dibawa ke skuad Piala MFL pula," ujar Akmal Rizal.

"Assifuah dah boleh masuk ke dalam skuad utama rasanya, mana tahu boleh menjadi selepas ini," kata Aril Kedah.

387795526_361005142947336_7324894766875856989_n

Gaya permainan Ifedayo dikatakan kurang sesuai dengan taktikal Sang Kenari musim ini. Facebook/KDA FC

"Kalau dah dapat hatrik, rasanya boleh dibawa untuk main dalam Liga Super musim depan. Gantikan sahaja dia dengan Ifedayo tu," kata Halim Rashid.

Sebelum ini, ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain pernah mengatakan pihaknya sedang menilai kebolehan pemain berusia 30 tahun berkenaan.

Pemerhatian itu dibuat untuk melihat sekiranya dia sudah bersedia untuk beraksi dalam Liga Super atau tidak dengan kata putus seperti masih belum dikeluarkan.

Setakat ini, Assifuah sudah menjaringkan 15 gol dalam penampilan buat skuad simpanan Sang Kenari, termasuk ketika pusingan awal.

Jika dia berjaya meneruskan serta meningkatkan prestasi terbabit, terdapat kemungkinan besar dia akan diserap untuk menajamkan lagi jentera serangan KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram