
BEREGU badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas gagal melangkah ke perlawanan akhir.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terkandas di separuh akhir selepas tewas straight set kepada beregu nombor tiga dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Shirag Chetty 21-17, 21-12 di Gimnasium Binjiang di Hangzhou, China pada Jumaat.
Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengalami kekalahan kedua dalam 10 perlawanan menentang gandingan India itu dengan aksi terakhir pada Terbuka Indonesia, Jun lalu.
Aaron menyifatkan kekalahan itu akibat kesilapan mudah dan persembahan hambar.
"Kami ditekan hebat oleh gandingan India itu dari segi rentak perlawanan dan ketika menerima servis,”katanya.
Sementara itu, Wooi Yik berkata, kekalahan itu tidak akan menjejaskan semangat mereka dan berharap untuk bangkit dengan lebih hebat menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
"Ini adalah proses menimba pengalaman pada penampilan sulung di Sukan Asia. Kami mara ke separuh akhir dan hanya satu perlawanan tidak memperagakan aksi baik....ini tidak bermakna prestasi kami menurun.
"Tumpuan kami kini adalah sukan Olimpik dan ini adalah proses itu,” katanya.
Pada perlawanan akhir esok, Satwiksairaj-Chirag akan berdepan beregu Korea Selatan, Choi Sol-gyu-Kim Won-ho yang menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-12, 21-10 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Susulan kekalahan beregu negara itu, cabaran Malaysia dalam sukan badminton di temasya sukan itu berakhir dan gagal menepati sasaran satu emas yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, skuad badminton pulang dengan tangan kosong selepas merangkul empat pingat gangsa pada edisi sebelum itu di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Pingat gangsa edisi 2014 itu disumbangkan oleh perseorangan lelaki (Datuk Lee Chong Wei), beregu lelaki (Goh V Shem-Tan Wee Kiong), beregu wanita (Vivian Hoo-Woon Khe Wei)dan acara berpasukan lelaki. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram