[VIDEO] Jangan sentuh keluarga saya — Zii Jia


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Zii Jia sering diberikan perhatian memandangkan prestasinya yang tidak menentu di peringkat antarabangsa.

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memastikan kemaraan ke pusingan kedua acara perseorangan lelaki di Sukan Asia Huangzhou.

Meskipun bergelut dengan isu prestasi sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu menundukkan lawannya dari Hong Kong, Angus Ng 15-21, 21-15, 21-16 dalam aksi sengit selama 62 minit.

Bagaimanapun, sesi sidang akhbar selepas perlawanan tersebut adalah lebih menarik apabila Zii Jia dengan terbuka memberi amaran.

"Sejak saya tinggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), saya memang tak banyak keluarkan kenyataan, tetapi ada yang betul dan ada yang salah.

"Saya faham ini adalah tugasan pihak media, tapi saya pun tak mahu beri kenyataan dengan banyak untuk menjelaskan perkara-perkara lain.

"Tetapi, apa yang saya nak tekankan di sini, anda jangan sentuh keluarga saya dan jangan katakan mengenai individu yang saya kisah," katanya.

Kenyataan itu dibuat tanpa menceritakan mengenai isu berkenaan dengan orang ramai terus tertanya-tanya akan latar belakang terhadap luahannya.

Sebelum ini, atlet kelahiran Kedah tersebut sering diberikan tekanan berhubung prestasinya yang tidak menentu setiap kali beraksi di peringkat antarabangsa.

Namun, pememang ketika Kejohanan All England 2021 tersebut masih boleh diangkat sebagai jaguh perseorangan negara memandangkan statusnya itu sukar digugat.

Dalam perkembangan lain, Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt dilaporkan berkata, isu membabitkan Zii Jia dan media sudah diselesaikan dengan cara baik.

"Sebagai CDM, saya mengambil inisiatif untuk mengadakan satu perjumpaan tertutup antara Lee Zii Yii yang juga pengurus kepada Zii Jia dan wakil media berhubung isu berkaitan insiden di Gimnasium Binjiang yang mencetuskan salah faham.

"Kedua-dua pihak telah bertenang dan mahu melupakan insiden berkenaan demi kebaikan kontinjen Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan Zii Jia menghentikan sesi temu bual secara mengejut selepas berdepan kekalahan menentang Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan dalam acara berpasukan lelaki, Khamis lepas.

Korea Selatan mengetepikan Malaysia 3-1 pada saingan peringkat 16 terbaik dalam acara badminton berpasukan lelaki, dan memenangi pingat gangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram