Rekod cemerlang CEO baharu jadi sandaran TFC pulih reputasi


  • Podium
  • Isnin, 09 Okt 2023

Barisan pemain TFC pastinya mendapat tonik terbaik dengan pelantikan Mohd Sabri Abas sebagai CEO baharu kelab itu. — Facebook/TFC

PADA Isnin, Terengganu FC mengumumkan Mohd Sabri Abas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu menggantikan Abdul Rasid Jusoh.

Pelantikan Sabri itu dibuat selepas keputusan sebulat suara dicapai ketika Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB) kali ke-3 2023.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab di Facebook, TFC menyatakan ahli Lembaga Pengarah melihat kredibiliti yang ada pada Sabri menyebabkan dia dipilih untuk memimpin kelab bola sepak yang sedang bersaing di peringkat Asia itu.

WhatsApp Image 2023-10-09 at 11.53.56

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas. — Facebook/TFC

“Kami dari seluruh keluarga besar Terengganu Football Club ingin mengucapkan tahniah buat Mohd Sabri Abas atas pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang baharu.

“Keputusan pelantikan telah dibuat secara rasmi dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kali ke-3 tahun 2023 pada petang semalam (Ahad) yang telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Keluarga besar Terengganu Football Club sekali lagi ingin mengucapkan tahniah serta selamat bertugas buat Encik Mohd Sabri Abas,” katanya dalam kenyataan itu.

Untuk rekod, Sabri Abas sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di TFCSB dan antara individu yang banyak menyumbang dalam perkembangan kelab ini sejak berkhidmat bermula pada tahun 2020.

Dalam pada itu, dengan mengambil kira dari pelbagai aspek pengurusan khususnya, Ahli Lembaga Pengarah TFCSB melihatkan kredibiliti serta pengalaman yang dimiliki olehnya menjadikannya sebagai calon terbaik untuk menjadi peneraju TFCSB yang baharu.

Terdahulu, bekas CEO TFC, Rasid sah meninggalkan kelab berikutan pelantikan jawatan baharunya sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ( Pengurusan ) pada 1 Oktober lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram