'Takkan gol penalti je?', persembahan Ifedayo kecewakan kepak Sang Kenari


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Ifedayo menjaringkan gol tunggal Kedah Darul Aman dalam kemenangan mereka di Cheras. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

MISI Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mengejar Selangor FC di tempat kedua Liga Super bermula dengan baik apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Jaringan tunggal Ifedayo Olusegun dari sepakan penalti sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 buat KDA sekali gus mengekalkan jurang lima mata dengan Selangor.

Kemenangan ini dilihat cukup bermakna untuk KDA dengan Ifedayo berjaya mendapatkan gol ketujuh dalam tujuh penampilan Liga Super buat bekas pemain Selangor itu.

Walaupun berjaya mendapatkan kemenangan, penyokong KDA seolah-olah tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditonjolkan skuad kendalian Nafuzi Zain.

KDA mungkin menguasai sebahagian besar perlawanan terutamanya di separuh masa pertama, mereka turut mencipta pelbagai percubaan untuk menewaskan Azri Ghani di pintu gol KL City.

Akan tetapi, penyokong KDA dikecewakan oleh kualiti penyudah oleh Ifedayo yang tidak mampu menghasilkan jaringan selain daripada sepakan penalti dihasilkannya pada separuh masa pertama.

"Ifedayo ni bayar mahal-mahal takkan jaringkan gol penalti saja?," soal penyokong bernama Abd Rahman Muhammad.

"Ifedayo tu nasib baik (gol) penalti. Teruk betul permainan dia," kata MitrAgyna Speciosa.

"Harap musim ni je la simpan Ifedayo," komen Mohd Farhan Md Fauzi.

"Ifedayo takkan nak jaringkan penalti je sampai habis musim?," ujar Own Apex.

Malah ada juga penyokong yang berasakan permainan Ifedayo secara keseluruhan tidak begitu baik.

Pemain itu sering tidak berada pada waktunya apabila rakan sepasukan melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

"Ifedayo ni teruklah, dia bagi lepas bola lepas tu salahkan orang lain," kata Mohd Yusrizal.

"Hantaran lintang dibuat tapi Ifedayo ke mana?," soal Muhd Amzar pula.

Walaupun hanya mampu menjaringkan satu gol, tetapi penguasaan yang dilakukan oleh KDA amat baik bagi memastikan KL City tidak mempunyai ruang mencabar pintu gol Sang Kenari.

KDA masih lagi dalam landasan terbaik untuk cuba memintas Selangor di tempat kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram