'Tanpa JDT hanya selevel Timor Leste', penyokong Indonesia pertikai kualiti Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Hanya JDT wakil tunggal dari Malaysia beraksi dalam Asia Champions League (ACL) musim ini.

"PERGI mana semua pasukan Liga Super?"

Itulah antara komen yang dilontarkan segelintir penyokong Indonesia selepas Johor Darul Takzim (JDT) sah dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini.

Skuad kendalian Esteban Solari melengkapkan kejayaan 'Perfect 10' kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut selepas membenam cabaran PDRM FC, 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.

Kejayaan JDT itu turut mencipta sejarah dalam kancah bola sepak negara apabila muncul satu-satunya kelab bola sepak muncul juara 10 musim berturut-turut selepas kali pertama memenangi trofi pada 2014.

Harimau Selatan turut melakar kejayaan 'treble' selepas mendakap Piala Sumbangsih, Piala FA dan terkini kejuaraan liga.

Selepas melengkapkan kejuaraan Liga Super, Harimau Selatan dalam pemburuan untuk mempertahankan Piala Malaysia bagi mengulangi kejayaan 'quadruple' musim lalu dan kini berada di landasan terbaik apabila mara ke separuh akhir piala berprestij itu.

2307338

Arif (kiri) dan Bergson (kanan) meraikan jaringan mereka di hadapan lensa kamera ketika menewaskan PDRM pada Rabu. — Facebook/JDT

Namun bagi penyokong Indonesia pula, kejayaan 10 kali JDT dalam Liga Super itu adalah petanda bahawa bola sepak negara ini tidak kompetitif.

"Kelab yang lain mana? Kenapa sampai 10 kali JDT menang Liga Super," kata @1504boys.

"Liga Super tanpa JDT hanya selevel Liga Timor Leste," jelas @Gwenshabiralendy.

"Pasukan yang lain cuma pelengkap jadual?" soal @Imenda.

"Juara 10 kali, tapi lawan Persis Solo B hanya boleh seri," luah @Rymndsnrt.

JDT

JDT pernah menewaskan kelab gergasi Indonesia, Persija Jakarta dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan Piala AFC 2018.

Meskipun penyokong Indonesia melabelkan Liga Super sebagai 'farmer league', tiada satu pun kelab dari negara itu mampu melakukan sebarang kejayaan di pentas Asia.

JDT menjadi antara satu-satunya pasukan yang menjuarai Piala AFC pada 2015, manakala KL City pula dinobatkan sebagai naib juara kejohanan itu musim lalu selepas tewas di tangan 0-3 kepada kelab dari Oman, Al Seeb.

Menurut laman sesawang Footy Ranking, Liga Super berada di kelompok lima terbaik dalam Asia Timur manakala Indonesia pula berada tempat ke-12.

Untuk pengetahuan penyokong bola sepak Indonesia, kehebatan sesebuah liga tidak bergantung kepada siapa juara liga, sebaliknya perlu melihat keseluruhan aspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram