JDT sah juara sedekad Liga Super, 2 bintang Harimau Selatan bantu pecah 'treler' PDRM


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Kesebelasan utama JDT ketika beraksi menentang PDRM pada Rabu. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) muncul juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas mudah menewaskan PDRM FC 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.

Kini skuad kendalian Esteban Solari hanya perlu menghabiskan baki empat perlawanan iaitu menentang Kelantan United, Kuching City FC, Sri Pahang FC dan Penang FC.

Baki kesemua perlawanan itu penting buat JDT bagi mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan liga domestik.

Pada perlawanan menentang skuad kendalian Datuk Yunus Alif, skuad Harimau Selatan memulakan rentak kemenangan menerusi gol pada minit ke-37 apabila Bergson da Silva mudah menyempurnakan hantaran Afiq Fazail.

Selang dua minit kemudian, PDRM terkedu dengan gol kedua JDT selepas Juan Muniz menyempurnakan sepakan voli hasil hantaran Matthew Davies.

1

Arif (kiri) dan Bergson (kanan) meraikan jaringan mereka di hadapan lensa kamera. — Facebook/JDT

Memasuki babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah derita PDRM menerusi sepakan penalti Arif Aiman Hanapi pada minit ke-54 dan jaringan Fernando Forestieri dua minit kemudian.

JDT terus mengawal keseluruhan sehingga tamat perlawanan sekali gus keputusan kekal 4-0 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kawalan penuh JDT dalam aksi itu menyebabkan pengulas perlawanan merasakan anak-anak buah Esteban Solari sedang melakukan latihan.

Kemenangan JDT itu ternyata memberikan kegembiraan kepada penyokong-penyokong Harimau Selatan yang mana mereka memuji persembahan setiap seorang pemain-pemain JDT.

2

Arif menjaringkan gol ketiga buat JDT menerusi sepakan penalti. — Facebook/JDT

"Afiq Fazail 'best player first half', dua gol JDT yang berjaya pecahkan formasi treler PDRM hasil gerakan dia," kata Empayar Darul Takzim - EDT.

"Afiq Fazail dengan Matthew Davies bagi assist terbaik," jelas Gagak Hitam Naz.

"Tahniah Matthew Davies dari pertahanan kanan naik ke atas buat assist dalam kotak penalti pihak lawan," ujar Hamrad Haran.

"Heberty itu macam tak ada semangat nak main sahaja, dah berapa perlawanan dia macam itu," luah Bajak Gaban.

Selepas ini, JDT akan terbang ke Thailand untuk bertemu BG Pathum United sekali gus memburu tiga mata pertama dalam kejohanan Asia Champions League (ACL) pada 3 Oktober nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram