PENGUMUMAN kenaikan harga beberapa produk roti Gardenia bermula 1 Oktober sepertinya sudah diduga akan menerima pelbagai reaksi rakyat.
Ini bukan kali pertama Gardenia menaikkan harga produknya memandangkan langkah itu diambil beberapa kali sejak beberapa tahun lepas susulan kenaikan kos bahan mentah, pandemik dan perang Ukraine-Rusia yang mempengaruhi harga gandum.
Gardenia dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan kenaikan harga terbaharu itu disebabkan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran yang meningkat secara berterusan.
Pengumuman pengeluar produk roti utama negara itu dibuat ketika rakyat mengeluh dengan keadaan peningkatan harga beberapa barangan asas lain seperti beras import dan telur.
Malah hasil tinjauan Majoriti di media sosial, rata-rata netizen hangat memperkatakan isu kenaikan harga produk Gardenia itu.
Sesetengah warganet turut mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap berita tersebut kerana menganggap ia tidak wajar dilakukan dalam keadaan ekonomi kini.
"10 tahun akan datang entah-entah roti Gardenia bilis itu jadi RM5 satu, hahaha kena belajar buat roti cepat-cepat ini," tulis @teka_mole.
Bukan itu sahaja, ada yang mengaitkan kenaikan harga roti itu dengan isu beras yang masih belum selesai sehingga kini.
"Isu beras tidak selesai, roti pula naik harga, tapi tidak mengapa asalkan ini kerajaan kami, naik apa pun kami peduli apa, ikut suka hati kami.. ini kerajaan kami," tulis @gemalternatif.
Bukan sekadar melempiaskan rasa marah, @schafiqtecix turut memberikan cadangan sebagai salah satu solusi kepada isu berkenaan.
"Roti Gardenia naik harga lagi, baik tidak mengapa. Tetapi boleh atau tidak kalau saya nak minta untuk kecilkan pembungkusan itu supaya orang bujang macam saya ini dapat habiskan roti itu sebelum tarikh luput. Ini tidak, asyik membazir sahaja kalau beli roti," kongsinya.
Bagaimanapun, terdapat juga sesetengah warganet yang menerima berita tersebut dengan hati yang terbuka dan menganggap ia suatu perkara yang biasa dilakukan setiap tahun.
"Roti Gardenia ini bukan harga kawalan subsidi kerajaan, lagipun bukannya baru sekali naik harga roti ini," tulis @PelitaRaya2.
"Tahukah anda roti Gardenia naik harga setahun sekali tapi tahun ini punya kenaikan baru perasan," kongsi @FaktaBukanAuta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram