Gara-gara tak dapat iPhone 15, pelanggan belasah pekerja sampai koyak baju


  • Benua
  • Isnin, 25 Sep 2023

Seorang pelanggan bertindak ganas kerana tidak dapat membeli iPhone 15.

SIRI iPhone 15 telah dilancarkan secara rasmi pada 12 September dan mula dijual di India pada Jumaat lalu.

Namun setiap kali Apple tampil dengan produk terbaru, pastinya pelbagai gelagat dapat dilihat dalam kalangan peminat yang tergila-gilakan model keluaran syarikat itu.

Ini kerana ada pelanggan yang sanggup tidur semalaman di depan kedai atau sanggup berebut semata-mata mahu mendapatkan telefon tersebut.

Malah rata-rata penjual juga akan cuba menarik pelanggan dengan memberikan potongan harga pada peranti canggih ini.

Bagaimanapun, seperti diduga berlaku kejadian yang tidak diingini di India apabila tular rakaman pergaduhan antara pelanggan dan penjual hanya kerana sebuah iPhone 15.

Video itu menunjukkan seorang pelanggan di kedai Croma, India melakukan serangan fizikal kepada seorang pekerja kerana tidak dapat membeli iPhone 15.

Pertengkaran itu menjadi semakin parah ketika dua hingga tiga orang mula terbabit sama dan bertindak kasar di kedai itu.

Ekoran tindakan ganas pelanggan itu, baju pekerja itu dilihat koyak rabak selain terdengar suara beberapa individu menggunakan bahasa kesat dan kata-kata hina antara satu sama lain.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa mereka melihat situasi itu.

"Itu pentingnya ada pelajaran," tulis @kitebried.

"Kawan-kawan, bertenang, itu hanya telefon! Datang lagi dalam setahun," tulis @Technovity18.

"Apple fanboys menakutkan saya," kata @Amon_Kwangya.

Punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan nasib mereka yang terlibat juga tidak dapat dipastikan. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram