[VIDEO] Beras kurang bukan sebab ada aktiviti sorok bekalan, tapi faktor cuaca tidak menentu — Bernas


  • Massa
  • Selasa, 26 Sep 2023

Farhan Hafetz menjelaskan bahawa kekurangan beras bukan terjadi disebabkan oleh aktiviti sorok bekalan.

PADIBERAS Nasional Bhd (Bernas) sekali lagi menegaskan bahawa isu kekurangan beras tempatan yang dihadapi pengguna ketika ini adalah bersifat global ekoran perubahan cuaca di India sebagai negara pengeksport beras utama ke Malaysia.

Ketua Bahagian Penjenamaan dan Pembangunan Produk Bernas, Mohammad Farhan Hafetz berkata, isu beras tempatan berkurangan bukanlah disebabkan wujud aktiviti sorok bekalan.

Beliau sebaliknya menjelaskan bahawa, kekurangan beras ketika ini hanya bersifat sementara dan akan kembali pulih apabila keadaan cuaca di India semakin baik.

"Tidak wujud orang yang sorok beras jadi tiada isu pun kerana beras tidak boleh disimpan lama, nanti semakin lama disimpan, semakin banyak berkutu," katanya kepada Majoriti.

Mohammad Farhan berkata, punca sebenar isu tersebut adalah disebabkan perubahan cuaca yang mendorong pengeluaran beras semakin berkurangan.

Menurutnya, isu kekurangan beras bukan hanya terjadi di negara ini, bahkan menjadi masalah di seluruh dunia.

Hal ini kerana, India sebagai negara pengeluar beras utama yang membekalkan 40 peratus daripada penggunaan beras dunia mengalami masalah perubahan cuaca yang mengakibatkan pengeksportan dihentikan.

"Yang seperti mana kita tahu, India juga telah menghentikan eksport beras putih untuk diimport disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Jelas Mohammad Farhan, disebabkan penghentian eksport itu, hanya tinggal 60 peratus bekalan beras yang boleh diberikan untuk menampung keseluruhan 100 peratus kepada permintaan dunia.

"Bila India berkurangan, satu dunia pun akan berkurang dan harga beras dijual seluruh dunia juga naik," katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Farhan meminta agar rakyat Malaysia tidak panik akan isu kekurangan beras.

"Jangan panik, beras ada lagi, cukup untuk pengguna Malaysia, jadi beli ikut keperluan semasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Farhan berkata, bermula bulan September ini, kerajaan telah memberi mandat kepada Bernas dan beberapa syarikat untuk dibahagikan secara bersasar yang bermakna, tidak semua orang atau setiap kedai boleh memperoleh bekalan.

"Ada kuota yang diberikan, kerajaan buat macam ini adalah supaya beras sampai mengikut sasaran iaitu pengguna-pengguna B40," katanya.

Kerajaan turut menetapkan had pembelian tidak melebihi 10 pek atau 100 kilogram bagi seorang pengguna supaya tiada pengguna yang salah guna untuk kegunaan kedai makan dan sebagainya.

Sementara itu, Mohammad Farhan juga memberi jaminan bahawa harga beras tempatan tidak naik kepada RM26 seperti yang ditentukan oleh kerajaan.

Katanya, pihak Bernas juga berharap peningkatan harga beras import tidak berpanjangan.

Sementara itu, Farhan berkata, bahawa isu tular pengubahan beg beras tempatan kepada beras import tidak pernah berlaku.

"Hal ini kerana, kos untuk menghentikan beg itu sangat merugikan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tidak wujud isu kartel beras di negara ini hingga timbul seperti dakwaan sesetengah pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram