Main gugup tapi kelalaian kelab Australia jadi 'hadiah' 3 mata buat skuad Penyu


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Pelbagai penambahbaikan masih perlu dibuat skuad Sang Penyu untuk mara dengan lebih baik dalam kempen Piala AFC mereka. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC mengumumkan kepulangan mereka ke pentas Asia dengan cukup baik apabila meraih kemenangan bermakna ke atas kelab Australia, Central Coast Mariners pada Rabu.

Jaringan sendiri daripada pertahanan lawan, Nathan Paull pada masa tambahan separuh masa pertama memastikan tiga mata milik mereka dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Meskipun pelbagai percubaan dilakukan trio serangan Sang Penyu, nasib tidak menyebelahi mereka untuk mendapatkan gol kedua perlawanan.

Situasi sama turut dihadapi Central Coast Mariners apabila mereka juga berkali-kali melakukan percubaan ke arah pintu gol Terengganu FC.

Namun, kecemerlangan benteng pertahanan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menggagalkan pihak pelawat untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Kemenangan berkenaan pastinya cukup bermakna buat Terengganu FC yang sudah terlalu lama menantikan peluang beraksi di kejohanan terbabit setelah kali terakhir layak pada 2012.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan dan keraian, masih terdapat segelintir penyokong kurang berpuas hati dengan persembahan anak-anak buah Tomislav.

Melihat kepada keluhan di laman media sosial, mereka berasakan pemain terlalu gugup ketika melakukan hantaran atau mengawal bola di kawasan sendiri.

"Nampak masing-masing gugup, lambat meloloskan bola, nak buat keputusan juga teragak-agak. Tapi, selepas ini, harap dapat kurangkan buat kesilapan," kata Faizwan Faez.

"Alhamdulillah, tahniah Terengganu FC menang perlawanan pertama dalam Piala AFC, jauh lagi perjalanan tu. Hantaran kena kemas lagi selepas ini," pesan Muhammad Syazwan Jr.

"Pertahanan dah kemas dah, gerakan serangan sahaja perlu ditambah baik. Yang risau ketika mengawal bola tu kena ubah terlebih dahulu rasanya," kata Mohammad Nor.

Kemenangan itu meletakkan pasukan Pantai Timur berkenaan di tangga kedua Kumpulan I dengan Bali United memperolehi kedudukan teratas setelah membenam Stallion Laguna dengan skor 5-2.

Perlawanan kedua buat Terengganu FC dalam saingan Piala AFC adalah 4 Oktober dengan mereka bakal berkunjung ke Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia untuk berdepan Bali United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram